OP PASIR terus melindungi kepentingan negara daripada sebarang ancaman anasir luar – Mohamed Khaled
MENTERI PERTAHANAN, Datuk Seri Mohamed Khaled bin Nordin bersama delegasi Kementerian Pertahanan telah mengadakan Lawatan Kerja ke Kawasan Tanggungjawab (KTJ) Operasi Padanan And Sipadan Island Resort (Op PASIR) Sektor Bravo, Pulau Berhala, Sandakan, Sabah, hari ini.
Semasa lawatan tersebut, Mohamed Khaled telah menerima taklimat yang disampaikan oleh Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (KATB 2), Brigedier Jeneral Wan Edenin bin Wan Mahsin berkenaan tahap pengoperasian Op PASIR yang dilaksanakan oleh ATB 2.
Operasi yang telah dilaksanakan sejak tahun 2002 ini bertujuan untuk melindungi kedaulatan dan keutuhan Timur Sabah daripada sebarang bentuk ancaman pencerobohan serta konflik.
Mohamed Khaled turut berpeluang melihat dengan lebih jelas kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sekitar kawasan operasi, meninjau keadaan keselamatan setempat dan bertemu dengan para pegawai dan anggota ATM yang ditempatkan di sekitar Sandakan.
Kehadiran Pasukan ATM di Timur Sabah dilihat penting sebagai satu strategi cegah rintang berpadu dalam melindungi kepentingan Negara daripada sebarang ancaman oleh anasir luar, berpandukan tiga kawasan lapisan berpadu merangkumi daratan, lautan dan udara.
Usaha ini berupaya meningkatkan keyakinan masyarakat setempat di samping merancakkan lagi pembangunan industri pelancongan, ekonomi dan sosial, selaras dengan Tonggak Pertama Strategi Pertahanan Negara dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP) 2020 – 2030.
Semasa lawatan, Menteri Pertahanan turut menyampaikan sumbangan berupa pembelian peralatan sukan dan rekreasi bernilai RM10,000 dari Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) bagi kegunaan anggota beroperasi di Op PASIR yang telah diserahkan kepada Komander ATB 2, Brigedier Jeneral Wan Edenin bin Wan Mahsin.
Sumbangan tersebut, antara lain bertujuan menzahirkan keprihatinan Kementerian Pertahanan dan Kerajaan dalam menjaga kemaslahatan anggota ATM yang melaksanakan operasi di samping memastikan moral anggota tentera sentiasa berada di tahap yang tinggi.
Hadir sama semasa Lawatan Kerja ini adalah Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi bin Hj Ahmad, Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Mejar Jeneral Dato’ Haji Fazal bin Haji Abdul Rahman; dan Pegawai-pegawai Kanan ATM serta warga ATM sekitar Sandakan.