Oliveira bertunang dengan saudara tiri
BINTANG MotoGP, Miguel Oliveira telah mengikat pertunangan dengan saudari tirinya, Andreia Pimenta, dedah bapa pelumba itu.
Pasangan itu yang saling mengenali sejak mereka berusia 13 tahun telah menjalin hubungan rahsia selama 11 tahun sebelum mendedahkan kepada umum pada 2019.
Pimenta, 24, adalah anak perempuan kepada isteri kedua bapa Oliveira, Cristina dan bapa pelumba itu, Paulo sendiri telah mendedahkan berita gembira tersebut.
“Saya gembira anak lelaki saya bakal melangsungkan perkahwinan dengan wanita yang dicintainya,” katanya kepada akhbar Sepanyol, Marca.
Oliveira sendiri sebelum ini pernah mendedahkan tentang dia jatuh cinta dengan saudara tirinya sebelum mengakui mereka merancang untuk berkahwin pada tahun ini.
Bercakap kepada Manuel Luis Goucha, pelumba Portugal itu berkata: “Sebelum jatuh cinta mereka telah menjalin hubungan persahabatan yang baik. Kami membesar bersama.
“Sehinggalah pada satu ketika, kami akhirnya sedar hubungan kami ini lebih daripada seorang sahabat, cinta kami sangat utuh.
“Kami merancang berkahwin tahun ini, tetapi tarikh yang jatuh pada hujung minggu itu kebetulan saya ada perlumbaan dan kami terpaksa menangguhkan hasrat itu pada tahun depan.”
Berita terbaru tersebut bermakna Oliveira, 25, meraikan kegembiraan yang dirasainya bukan sahaja di dalam trek, malah di luar litar juga.
Khabar tersebut hadir selepas dia menjuarai perlumbaan MotoGP pada Grand Prix Styria buat kali pertama dalam sejarah sukan lumba motosikal Portugal.
“Hanya mampu menjerit dan akhirnya dapat menikmati keseronokan ini. Saya dapat berasakan ia bakal berlaku dalam beberapa perlumbaan sebelum ini.
“Saya berasakan kami mempunyai potensi untuk berbuat demikian, jadi akhirnya ia menjadi kenyataan. Kejayaan ini memberi suntikan semangat lebih besar untuk terus mengulanginya dalam perlumbaan akan datang,” katanya. – The Sun UK – SM