Politik

Nik Nazmi umum pertahan jawatan Naib Presiden PKR, Ketua Cabang Setiawangsa

KUALA LUMPUR – Nik Nazmi Nik Ahmad malam ini mengumumkan akan mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR dan Ketua Cabang Setiawangsa dalam pemilihan parti itu yang dijadual pada 24 Mei.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, ketetapan itu diumumkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan PKR cabang Setiawangsa, pada Sabtu.

Mesyuarat itu juga sebulat suara memutuskan untuk menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengekalkan jawatan sebagai Presiden dan Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai Timbalan Presiden parti.

“Dalam kita meraikan demokrasi dalaman yang matang, kita juga perlu memastikan bahawa persaingan ini berlangsung dengan penuh adab, semangat setia kawan dan fokus kepada agenda besar mengukuhkan PKR sebagai sebuah parti masa depan yang terus relevan dalam perjuangan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu video yang dimuat naik di akaun TikTok pada Sabtu.

Pada Jumaat, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari turut mengesahkan akan mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR pada pemilihan parti itu.

Sementara itu, Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin sebelum ini dilapor berkata, jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PKR mungkin tidak dipertandingkan berdasarkan beberapa pandangan daripada proses rundingan dalaman.

Anwar yang menyandang jawatan Presiden PKR bagi penggal ketiga dan terakhir berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada PKR untuk membuat keputusan.

Pemilihan majlis pimpinan pusat, majlis pimpinan wanita pusat dan majlis pimpinan pemuda pusat akan diadakan pada 24 Mei. – Bernama

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button