Agama

Nik Elin cabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 demi negara

“Saya buat ini (petisyen) bukan untuk diri saya, saya buat untuk semua dan Alhamdulillah walaupun dikutuk, dikeji dan dilaknat, demi kebaikan Malaysia.”

Demikian komen peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, 62, yang mengemukakan petisyen mencabar 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Anak jati Kelantan itu berkata, petisyen yang dikemukakan itu bukan untuk kepentingan peribadi sebaliknya dibuat bagi mempertahankan kedaulatan negara.

“Sebagai peguam, kami officers of the court (pegawai mahkamah), saya percaya memang tugas kita sebagai pengamal undang-undang untuk menegakkan dan mempertahankan kedaulatan undang-undang, saya buat bukan untuk diri saya, saya buat untuk semua,” katanya selepas ditemui di Istana Kehakiman, di sini, hari ini.

Ditanya adakah dia akan membawa petisyen sama ke negeri lain, Nik Elin tidak berhasrat meneruskan petisyen itu.

“InsyaAllah tidak ada (negeri lain), saya rasa selepas ini, mereka (Dewan Undangan Negeri) akan lebih berhati-hati merangka undang-undang,” katanya.

Akuinya, petisyen dikemukakannya tiada kena-mengena dengan doktrin Islam kerana mahkamah sudah memutuskan ia hanya mengenai kompetensi DUN.

Ditanya reaksi rakyat Kelantan ketika dia pulang ke kampung, Nik Elin berkata, dia diterima baik oleh rakyat di negeri itu dan tiada apa yang tidak baik berlaku.

“Saya balik Kelantan tidak kena kecaman pun, semuanya menyokong saya.

“Kalau yang kata (ada kecaman) saya rasa itu manipulasi fakta sebab saya tiada masalah,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini, mengisytiharkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8 -1 memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen Nik Elin Zurina dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman, 26, selaku pempetisyen bagi mencabar peruntukan enakmen itu.

Dengan keputusan itu, Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak lagi mempunyai bidang kuasa menggubal 16 peruntukan undang-undang yang dipertikaikan itu.

Panel itu turut dianggotai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd. Diah dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Turut menganggotai panel, Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri P Nalini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button