Ekonomi

NCIA terus bantu rakyat terjejas, tangani kemiskinan fasa pemulihan pasca pandemik

SELARAS dengan Rancangan Malaysia Ke-12 2021-2025 (RMK12) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, NCIA akan terus komited melaksanakan program modal insan yang inklusif, holistik, dan berpaksikan rakyat bagi menangani kemiskinan dan merancakkan pembangunan sosioekonomi Perlis bagi kemampanan dan kemakmuran jangka panjang.

Objektif program Modal Insan NCIA adalah untuk mewujudkan masyarakat yang lebih seimbang, pada masa yang sama menangani dan mencegah kemiskinan masa depan, memastikan kelangsungan pendapatan,  mendorong penglibatan belia, wanita, dan penganggur dari golongan B40, miskin dan miskin tegar dalam bidang perniagaan dalam situasi yang mencabar ini.

Berdasarkan pendekatan ‘bottom-up’ di mana suara semua pihak berkepentingan telah diberi pertimbangan sewajarnya, NCIA menyedari peranan ibu sebagai tonggak keluarga.

NCIA telah mengambil langkah untuk membantu 3,600 wanita yang mewakili isi rumah dengan lebih
daripada 21,000 tanggungan di antara golongan miskin dan miskin tegar melalui program Kasih Ibu Perlis (KIP).
KIP dilaksanakan selaras dengan Rancangan Pemulihan Nasional (NRP).

Penerima yang layak yang berada di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan 2019 dipilih dan disaring melalui sistem e-Kasih yang dibangunkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

Penerima yang layak di Perlis menerima kad tanpa tunai KIP dan akan menikmati bantuan tunai untuk membeli 16 jenis keperluan asas bernilai RM250 sebulan dari peniaga terpilih serta perkhidmatan penjagaan kesihatan bernilai RM500 setahun dari klinik swasta yang dilantik.

Perbelanjaan oleh penerima KIP ini akan memberi kesan limpahan terhadap ekonomi tempatan di seluruh negeri Perlis.

Sebagai pelengkap pelaksanaan program KIP, 228 penerima dan tanggungan kini menyertai program empowerNCER-Latihan dan Keusahawanan, empowerNCER-Akademik dan JomNiaga@NCER yang membantu mereka menjana pendapatan dan meningkatkan status sosioekonomi mereka.

“Selain daripada KIP, Kerajaan Negeri juga mengalu-alukan pendekatan bersepadu program modal insan NCIA yang lain seperti empowerNCER yang memberi peluang latihan kemahiran dan keusahawanan serta pendigitalan untuk memperkukuhkan ekonomi tempatan dalam tempoh pandemik ini,” kata Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri (JPN) Perlis yang diadakan
awal hari ini.

Sejak pelancaran program modal insan NCIA empowerNCER-Latihan dan Keusahawanan, entrepreneurNCER dan NCER Talent Enhancement Programme (NTEP) pada Ogos 2019, hampir 2,800 peserta terdiri daripada belia, wanita, dan graduan menganggur di Perlis telah mendapat manfaat daripada kursus keusahawanan, termasuk e-dagang, panduan perniagaan secara peribadi serta bantuan kewangan dalam bentuk ‘top-up’ faedah pinjaman untuk modal kerja atau pengembangan perniagaan. Sehingga kini, seramai 142 peserta di Perlis telah menggunakan platform perniagaan e-dagang dan digital.

“Dengan memberikan penekanan pada pemasaran digital dan e-dagang bagi meningkatkan pendapatan dan keberlangsungan perniagaan peserta, pelaksanaan program modal insan NCIA juga seiring dengan Pelan Digital Perlis 2021 – 2025 yang diperkenalkan untuk menghubungkan pemerintah, rakyat dan sektor swasta melalui  platform digital,” tambah Azlan.

Pelaksanaan Polisi Perlis Bebas Niaga juga membantu usahawan di negeri Perlis, di mana para usahawan dari program empowerNCER dan JomNiaga@NCER dapat memulakan perniagaan mereka sendiri tanpa perlu memiliki atau menyewa premis tetap.

Pengeluaran lesen perniagaan sementara akan memudahkan pengusaha untuk mematuhi peraturan pihak berkuasa tempatan dan memformalkan perniagaan mereka. Polisi ini sebagai pelengkap dan dilaksanakan pada waktu yang tepat di saat rakyat sedang bergelut dengan pandemik Covid-19.

NCIA juga telah melaksanakan dua program fast-track, JomKerja@NCER dan JomNiaga@NCER.

Sehingga kini, kedua-dua program ini telah berjaya mewujudkan lebih daripada 720 pekerjaan dan usahawan baru di Perlis sejak dilaksanakan pada bulan Ogos tahun lalu. JomKerja@NCER memberi tumpuan kepada penempatan pekerjaan untuk graduan yang menganggur dan pekerja yang diberhentikan terutamanya di sektor pembuatan, dan pelancongan.

Bagi program JomNiaga@NCER, NCIA menyasarkan golongan belia, wanita, pekerja yang diberhentikan, dan komuniti dari kawasan yang kurang membangun.

Program ini menyediakan kemahiran atau peningkatan kemahiran untuk penempatan pekerjaan atau peluang untuk menjadi usahawan. Insentif untuk pengusaha mikro dan PKS termasuk menyediakan peluang pekerjaan bagi golongan yang terlibat untuk meminimumkan kesan pemberhentian pekerja.

“Sehingga kini, seramai 884 perusahaan mikro dan sembilan PKS telah mendapat manfaat daripada program ini.

“Program modal insan NCIA yang bersepadu dan holistik yang dilaksanakan di Perlis telah memberi impak yang besar dalam usaha membasmi kemiskinan.

“Kejayaan dan kesinambungan program-program ini sangat penting untuk mengembalikan kesejahteraan rakyat dengan meningkatkan daya beli mereka, merapatkan jurang sosioekonomi yang ada, dan memastikan kelangsungan hidup dalam pemulihan pandemik pasca COVID-19,” kata Ketua Eksekutif NCIA,
Datuk Seri Jebasingam Issace John.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button