Najib persoal ‘laluan hijau’ Covid Malaysia-Indonesia
BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan pelaksanaan skim laluan hijau timbal balik (RGL) Indonesia-Malaysia bagi meningkatkan perdagangan antara kedua-dua negara.
Menurut Najib, ‘laluan hijau’ Covid hanya membabitkan negara yang telah berjaya kekang Covid-19.
Bagaimanapun Indonesia ketika ini mencatatkan jumlah kes baharu melebihi 12,000 angka dan dilaporkan mempunyai lebih 170,000 kes aktif.
“Adakah Indonesia dengan 12,156 kes baru, 191 kematian dan 176,433 kes aktif hari ini boleh dikategorikan sebagai negara yang telah berjaya kawal Covid?
“Apakah jaminan bahawa mutasi baru dari negara tersebut tidak akan menular ke Malaysia melalui laluan hijau ini memandangkan negara itu merupakan sumber asal mutasi Covid pertama yang menular dengan 10 kali lebih laju dan mencetus gelombang ketiga Malaysia tahun lepas?” kata Najib.
Persoalan itu ditimbulkan Najib, selepas media melaporkan, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob berkata, Malaysia dan Indonesia telah bersetuju untuk melaksanakan skim RGL.
Menerusi temu bual melalui skype di program Buletin Bernama 1 Tengahari, Bernama TV, hari ini, Muhammad Shahrul berkata, perancangan itu memerlukan susulan lanjut bagi memperincikan prosedur operasi standard (SOP) untuk pelaksanaan.
Muhammad Shahrul Ikram berkata, RGL itu atau di Indonesia dikenali sebagai ‘corridor travel arrangement’ tidak terbuka kepada semua warganegara tetapi bertujuan untuk memudahkan perjalanan para pegawai kerajaan serta pelabur dari kedua-dua negara serta mempertingkat perdagangan terutamanya peniaga bernilai tinggi.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai hasil lawatan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Indonesia bagi mengadakan pertemuan empat-mata dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) pada Jumaat.-SM