Najib anggap Farhash Wafa kurang adab
Pengumuman Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak untuk meletakkan calon di Dewan Undangan Negeri Slim berikutan kematian penyandangnnya Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dianggap sebagai kurang adab.
Menurut bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, tindakan Farhash Wafa yang membuat pengumuman tersebut di media semalam sebelum jenazah Allahyarham Mohd. Khusairi dikebumikan sebaga tanda tidak hormat kepada arwah dan keluarganya.
“Jenazah pun belum dikebumikan. Tiada hormat langsung kepada arwah Dato’ Khusairi.
“Tiada hormat langsung kepada keluarga. Tiada hormat langsung kepada penduduk Slim. Kurang adab,” kata Najib.
Pada lewat malam tadi, Farhash Wafa memberikan kenyataan akhbar bahawa PKR akan meletakkan seorang calon anak tempatan di kerusi tersebut.
Menurutnya, PKR akan mempertahankan legasi Allahyarham Mohd Khusairi di kawasan tersebut.
“Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga waris ADUN Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib yang meninggal dunia petang tadi.
“Parti PKR akan mempertahankan legasi arwah dengan mencalonkan seseorang dari kawasan setempat. Kita akan meneruskan usaha dalam membela nasib rakyat sebagai pembangkang ketika waktu yang mencabar ini.
“Ketika negara kita mengalami krisis Covid-19 dan rakyat sedang menghadapi kemelut ekonomi, gerakan reformasi akan diteruskan demi suara PKR,” kata Farhash Wafa.
Allahyarham Mohd Khusairi meninggal dunia akibat serangan jantung semalam di Hospital Bentong, Pahang.
Jenazah Mohd Khusairi dibawa ke rumah ibunya di Felda Sungai Behrang, Slim River malam tadi dan dijangka akan disolatkan di Masjid Felda Sungai Behrang pagi ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Sungai Behrang.
Pada Pilihan Raya ke-14 (PRU14) lalu, Mohd Khusairi menang di kerusi DUN Slim menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas dengan memperoleh majoriti 2,183 undi.
Mohd Khusairi yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim menjadi ADUN Slim sejak tahun 2004.-SM