Banjir

MyRaudhah bantu mangsa banjir di Pahang

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) MyRaudhah menyambut baik saranan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menggalakkan petugas NGO atau orang perseorangan membuat saringan COVID-19 atau ujian swab terlebih dahulu sebelum menjalankan program khidmat masyarakat di kawasan bencana bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan.

Seramai 40 orang sukarelawan MyRaudah yang bepusat di ibu negara telah berkampung selama 3 hari bermula pada 14 Jan di Temerloh, Pahang dengan aktiviti pembersihan pasca banjir di beberapa buah kediaman dan sebuah masjid di Taman Sri Semantan, pembersihan wakaf di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja Songsang dan penyampaian sumbangan barangan kepada 12 keluarga yang terjejas akibat banjir di Kampung Bukit Tingkat.

Para sukarelawan MyRaudhah turut bergotong royong membersihkan sebuah masjid yang terletak di Kampong Kelola di Mukim Kampung Kelola yang merupakan masjid tertua di tubuhkan di tebing Sungai Pahang. Hadir sama dalam program ini Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris serta Datuk Ruhaidini Abd Kadir selaku Pengasas MyRaudhah.

Nazlan menzahirkan penghargaan kepada MyRaudhah di atas inisiatif dan usaha murni pertubuhan ini untuk misi pasca banjir bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir khususnya yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Saya amat berbangga dengan MyRaudhah yang sangat proaktif dengan mewajibkan semua sukarelawan yang terlibat untuk menjalani ujian saringan Covid 19 atau ujian swab sebelum turun padang bagi menyekat penularan wabak ini. Cabaran sebenar bagi mangsa-mangsa banjir adalah aktiviti pasca banjir kerana beban kerja yang banyak dan kehadiran NGO amat dialu-alukan bagi meringankan beban mereka.”

Nazlan turut menyarankan agar pihak kerajaan mengiktiraf usaha murni pihak NGO dari Zon merah yang ingin memberi bantuan atau sumbangan dengan memberikan kemudahan ujian saringan Covid 19 (ujian swab) secara percuma kepada mereka dengan menyediakan pusat sehenti di pintu-pintu masuk negeri bagi menyekat penularan wabak ini.”

“Ujian saringan Covid 19 wajar diberikan secara percuma memandangkan NGO-NGO ini melakukan aktiviti kemasyarakatan dengan menyumbang tenaga dan wang ringgit tanpa mengharapkan sebarang ganjaran.”

Tambah Nazlan, “Inisiatif ini akan menjadi pemangkin kepada lebih ramai NGO untuk turun padang memberi bantuan di kawasan yang ditimpa bencana sekaligus dapat mendidik semua pihak agar mematuhi SOP dan secara tidak langsung kita dapat bersama melandaikan lekuk Covid-19 di negara kita.”

Sementara itu, Ruhaidini menzahirkan kesyukuran diatas pelancaran MyRaudhah yang disifatkan pertubuhan mesra masyarakat dan berharap agar lebih ramai badan-badan korporat dan orang perseorangan tampil memberi sumbangan bagi menjayakan altiviti kemasyarakatan sebegini.

Pada program membersihkan Masjid Kg Kelola, MyRaudhah turut menyampaikan pelbagai sumbangan berupa wang tunai, 5 unit water jet, telekung, sejadah dan beberapa barangan keperluan harian kepada Ahli Parlimen Jerantut.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button