Pelakon popular Zul Ariffin memaklumkan dia berhijrah dan menetap di Mekah pada Januari tahun hadapan dan memulakan perniagaan vending machine di sana.
Zul berkata, perniagaan tersebut sudah lama dirancang bersama beberapa rakan setelah pergi melawat ke beberapa buah negara Arab untuk urusan kerja serta mengerjakan ibadah umrah.
“Buat masa ini saya dalam proses untuk berhijrah dan menetap di Mekah. Tempat tinggal di Mekah juga sudah ada dan jaraknya hanya lima kilometer sahaja dari Masjidil Haram.
“Apapun saya akan tetap berulang-alik ke Malaysia jika ada sebarang urusan kerja. Sebagai persediaan, saya juga dah kurang ambil job lakonan seperti drama,” ujarnya.
Zul berkata demikian ketika ditemui media sebaik sahaja selesai majlis pelancaran filem Talbis Iblis yang berlangsung semalam.
Menurut Zul, biarpun dia sudah berhijrah ke Mekah, ia tidak bermakna dia akan terus meninggalkan bidang lakonan dan akan terus aktif sebagai pelakon.
Jelasnya, dia akan cuba untuk mengimbangi antara kerjaya lakonan dan perniagaan, malah sudah banyak perancangan yang dibuat bersama pihak pengurusan.
“Kalau tengok industri hiburan sekarang dah kembali rancak selepas pandemik. Semakin banyak filem yang dihasilkan dan mendapat sambutan baik, jadi rugi pula kalau saya terus perlahankan karier lakonan.
“Lagipun tiada masalah kalau saya perlu berulang-alik antara Malaysia dan Mekah, kalau naik flight pun setakat tujuh atau lapan jam sahaja,” ujarnya.
Sementara itu, bercerita lebih lanjut mengenai pembabitannya dalam filem Talbis Iblis, Zul memberitahu dia memegang watak sebagai Nasir.
“Sebenarnya watak saya tidaklah terlalu besar dan saya sendiri yang menawarkan diri untuk berlakon dalam filem ini sebab tertarik dengan ceritanya.
“Pada asalnya juga peranan Nasir agak kecil, tetapi pihak produksi mengembangkan lagi watak berkenaan apabila saya berlakon,” ujarnya.
Filem arahan Khabir Bhatia itu turut dibintangi Azira Shafinaz, Nasha Aziz, Jay Iswazir dan Sherie Merlis serta akan ditayangkan pada 20 Oktober ini di pawagam seluruh Malaysia.