Nasional

Muhyiddin sah Perdana Menteri disokong 114 ahli Parlimen

Isu usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akhirnya tamat apabila sebanyak 114 ahli Parlimen yang hadir dalam sidang Dewan Rakyat hari ini duduk di blok kerajaan.

Ia sekali gus menyaksikan Muhyiddin memiliki sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen diperlukan untuk majoriti mudah di Dewan Rakyat.

Cadangan tempat duduk Dewan Rakyat yang dikeluarkan hari ini menunjukkan seramai 114 ahli parlimen duduk di blok kerajaan.

Sejumlah 107 ahli parlimen lagi termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad duduk di blok pembangkang.

Baki seorang lagi daripada keseluruhan 222 ahli parlimen iaitu bekas Menteri Kerja Raya, Baru Bian turut berada di blok pembangkang sebagai ahli parlimen Bebas.

Sidang Dewan Rakyat itu menarik tumpuan negara kerana ia yang pertama sejak “Langkah Sheraton” akhir Februari lalu yang menyaksikan Perikatan Nasional dianggotai sebahagian besar pemimpin kanan Parti Bersatu, UMNO/Barisan Nasional, PAS dan Gabungan Parti Sarawak menggantikan Pakatan Harapan sebagai kerajaan.

Sidang pertama itu dijadual antara 9 Mac hingga 16 April lalu tetapi disebabkan negara berdepan ancaman wabak Covid-19, ia ditangguhkan.

Sidang pada awalnya diadakan untuk satu hari yang menyaksikan majlis pembukaan mesyuarat pertama penggal ketiga parlimen ke-14 itu hanya berlangsung seketika.

Namun, ia dipendekkan untuk mendengar titah diraja Yang di-Pertuan Agong,
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sahaja.

Dalam pada itu, Dr Mahathir yang juga ahli parlimen Langkawi dilihat berada dalam blok pembangkang.

Di blok pembangkang pula kelihatan kelibat Ahli parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipilih sebagai ketua pembangkang.

Presiden PKR itu duduk di barisan depan, diikuti ahli parlimen Kota Raja Mohamad Sabu; Lim Guan Eng (Bagan), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Pandan), Lim Kit Siang (Iskandar Puteri), seterusnya Muhamad Yusof Rawa (Parit Buntar) dan Mahathir.
– SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button