Nasional

Muhyiddin pastikan sekolah dibuka selamat

Pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaaan akan dipergiatkan lagi. Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara beliau akan memastikan semua yang layak menerima suntikan vaksin.

Selain itu, beliau juga akan memastikan pelajar dan warga sekolah serta universiti adalah selamat apabila pusat pendidikan dibuka semula.

“Sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), saya akan memastikan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaaan dipergiatkan lagi bagi memastikan semua yang layak akan menerima suntikan vaksin.

“Saya akan mempengerusikan mesyuarat MPN pada Isnin depan dan akan memberi fokus kepada pembukaan sekolah dan institusi pengajian tinggi secara teratur dan selamat.

“Insya-Allah, dengan kerjasama orang ramai, kita dapat menangani pandemik COVID-19 ini sebagai satu Keluarga Malaysia,” kata Muhyiddin.

Tambahnya, tindakan Kerajaan untuk menubuhkan Pasukan Bertindak Khas ataupun Greater Klang Valley Special Taskforce telah berjaya mengawal penularan COVID-19 dan memperkukuhkan kesiapsiagaan sistem kesihatan.

Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang bagi mempercepatkan proses vaksinasi juga telah membuahkan hasil sehingga nilai-nilai ambang bagi peralihan ke Fasa Dua dapat dicapai.

Bekas Pedana Menteri itu hari ini berkesempatan berkunjung ke pusat membeli-belah AEON AU2 Setiawangsa di Taman Keramat, Kuala Lumpur bagi melihat sendiri pembukaan sektor ekonomi di bawah Pelan Pemulihan Negara.

Muhyiddin turut mendengar perkongsian dari para peniaga di lapangan yang sudah memulakan operasi jualan semula.

“Seperti kunjungan-kunjungan saya sebelum ini, saya ingin mendengar sendiri daripada mulut peniaga tentang pengalaman dan rintihan mereka dalam berhadapan cabaran mencari rezeki ketika musim pandemik.

“Sememangnya, angka dan data yang dikumpul tidak akan lengkap jika kita tidak mendengar sendiri suara rakyat.

“Ada yang mengadu kepada saya tentang cabaran perniagaan yang dihadapi sepanjang tempoh “lockdown” termasuk kerugian yang ditanggung, namun Alhamdulllah, rata-rata peniaga menghargai bantuan-bantuan tunai yang telah disalurkan Kerajaan sejak Mac 2020 seperti Bantuan Prihatin Nasional dan Bantuan Khas Covid baru baru ini,” kata Muhyiddin.

Beliau berkata, sebagai sebuah Kerajaan prihatin, pihak pemerintah tidak pernah putus untuk cuba membantu rakyat meringankan beban yang ditanggung akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, Kerajaan telah membelanjakan lebih RM25 billion untuk bantuan tunai kepada rakyat yang telah memanfaatkan lebih 10.6 juta orang penduduk Malaysia.

Pada separuh kedua tahun ini sebanyak RM10 billion bantuan tunai telah diperuntukkan melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

Muhyiddin amat kagum melihat kecekalan para peniaga yang tabah meneruskan usaha mereka mencari rezeki yang halal.

“Rata-rata peniaga menzahirkan rasa optimistik bahawa perniagaan mereka akan beransur pulih dan memastikan peniaga serta pelanggan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Saya juga berkesempatan beramah mesra dengan para pengunjung termasuk anak-anak kecil yang sudah mula menikmati cuti sekolah mereka.

“Sememangnya pengurusan wabak COVID-19 ini memerlukan bukan sahaja penglibatan secara menyeluruh oleh Kerajaan malah masyarakat juga amat penting,” jelas Muhyiddin.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button