Politik

Muhyiddin balas surat, sudi sertai Muafakat Nasional

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah membalas surat jemputan untuk menyertai Muafakat Nasional yang dianggotai UMNO dan Pas.

Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan berkata,  Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin menyatakan kesudian parti itu menyertai Muafakat Nasional (MN).

“Bagaimanapun, pihak kami belum sempat mengadakan persidangan dan mungkin mesyuarat bersama ketiga-tiga parti akan diadakan dalam masa terdekat.

“Sekarang ini, kita secara tidak rasmi sudah adakan perbincangan terutamanya untuk membincangkan mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah memandangkan di sana ada Umno, Pas dan Bersatu,” katanya.
Sebelum ini tular surat mengajak Bersatu menyertai Muafakat Nasional yang disebarkan dalam media sosial pada Khamis lalu.
Surat tersebut mempunyai tandatangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Kandungan surat itu antara lain menyatakan UMNO dan Pas dengan sukacitanya mengalu-alukan penyertaan Bersatu dalam MN.
“Kami mengambil maklum kesediaan YAB Tan Sri mempertimbangkan penyertaan Bersatu sebagai anggota Muafakat Nasional. Sehubungan dengan itu, dengan sukacitanya mengalu-alukan Bersatu untuk menyertai Muafakat Nasional.

“Maka dengan ini, Muafakat Nasional menghulurkan jemputan tersebut kepada YAB Tan Sri bagi merealisasi harapan kami di Muafakat Nasional,” menurut surat tersebut.

Pada 30 Julai lepas, dalam satu sidang media, Ahmad Zahid mendedahkan, Muhyiddin telah menyatakan hasrat untuk menyertai MN.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, hasrat Bersatu itu akan dibincangkan bersama dengan PAS untuk diperhalusi.

Takiyuddin pula berkata, penyertaan Bersatu akan memantapkan lagi gabungan yang  yang digagaskan atas dasar muafakat dalam hal-hal membabitkan kepentingan agama Islam, bangsa Melayu, Bumiputera dan kepentingan nasional secara umumnya.

“Pas yakin gandingan UMNO, Pas dan Bersatu bukan sahaja akan mewujudkan suatu gagasan besar ‘Melayu Raya’ sebaliknya juga memperkasakan struktur masyarakat Malaysia yang merupakan sebuah negara majmuk berbilang bangsa, agama dan budaya,” katanya dalam satu kenyataan sebelum ini.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button