Merrepak

Muat naik hantaran palsu berkait Agong, warga emas dipenjara 6 bulan

PUTRAJAYA: Seorang warga emas dijatuhkan hukuman penjara enam bulan selepas gagal membayar denda RM30,000 atas kesalahan memuat naik kandungan bersifat palsu mengenai Yang di-Pertuan Agong dan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-268 menggunakan aplikasi Facebook miliknya.

Berdasarkan kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Johari Ismail, 67, yang melakukan kesalahan itu pada 8 Feb lalu, menjalani hukuman itu di Penjara Kajang bermula hari ini.

SKMM berkata, Hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman itu bawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-dua sekali, di Mahkamah Sesyen, Sepang hari ini.

Selepas menjatuhkan hukuman, Fuad menasihati bapa kepada empat anak itu menyedari lebih awal tentang kesan hantaran berkenaan kerana tindakan terbabit bukan sahaja menimbulkan kebencian kepada kerajaan, malah masyarakat turut memandang rendah terhadap institusi diraja.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SKMM Faten Hadni Khairuddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Warga emas itu ditahan semalam sejurus waran tangkap dikeluarkan akibat kegagalannya menghadiri prosiding pertuduhan di mahkamah.

Kira-kira 11.30 pagi 8 Feb, Johari memuat naik hantaran bersifat kandungan palsu dan diletakkan untuk tontonan umum yang mendakwa Majlis Raja-Raja membuat undian untuk mengambil tindakan terhadap kerajaan kerana ingkar melaksanakan dokumen tambahan melibatkan kes bekas perdana menteri Najib Razak.

Hantaran berkenaan kemudian dilihat pasukan siasatan SKMM di SKMM Tower 1, Jalan Impact, Cyberjaya, kira-kira 12.59 tengah hari pada 9 Feb.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button