Muafakat Nasional tegap berdiri, terima kasih Ahmad Zahid
BELANG sama dengan sebahagian orang Melayu hari ini yang memerhati tindak-tanduk pembangkang yang dulunya berkuasa dalam ‘kerajaan singkat 22 bulan’.
Apa yang sekilas Belang boleh simpulkan adalah – terlalu banyak kekalutan, kekeliruan dan caca marba semasa kerajaan yang lepas.
Sebahagian besar fitnah yang dilemparkan terhadap pembangkang waktu itu (UMNO dan Pas terutamanya dan kini menjadi kerajaan) hari ini terjawab sudah.
Fitnah Pakatan Harapan terhadap Pas, UMNO dan pejuang-pejuang Melayu antara tahun-tahun 2017 hinggalah tumbang kerajaan enam dekad pada 9 Mei 2018, meresapi dalam diri sebahagian orang Melayu.
Malangnya, tidak seperti DAP, sebahagian penyokong UMNO dan Pas pada pengamatan Belang semasa tempoh 2017 hingga 9 Mei 2018, agak defensif. Barangkali hentaman 1MDB terlalu kuat, bak tsunami sehingga membayangi, menenggelam dan memusnahkan kebenaran, fakta dan kemurniaan sebahagian besar wakil-wakil rakyat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) UMNO-Pas yang masih utuh khidmat baktinya kepada rakyat Malaysia.
Hal ini menyebabkan para penyokong UMNO dan Pas tidak begitu yakin untuk mempertahankan habis-habisan parti masing-masing – terutama sebilangan pimpinan UMNO yang bebas dari dakwaan penyelewengan.
Belang masih teringat bagaimana kerjasama UMNO-Pas digerakkan atas inisiatif Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) peringkat awal. Kalah memanjangkan sahaja waktu itu? Ini sehinggakan sebahagian penyokong UMNO/Pas serta pemimpin mereka pandang sepi dengan permuafakatan tersebut.
Di mana kelibat Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan satu dua lagi orang (yang tiba-tiba muncul hebat hari ini selepas Februari tahun 2020) ketika itu (antara 2018 hingga pertengahan 2019)?
Tetapi Ahmad Zahid terus bertahan, sehinggalah kerjasama UMNO-Pas yang pada awalnya setakat `permuafakatan’, kemudian muncul kukuh kini dikenali Muafakat Nasional sehingga menang 6-0 dalam siri PRK mutakhir, dan bakal menyusul kemenangan ke-7 di PRK Slim, 29 Ogos ini.
Berbalik kepada tindak tanduk Pakatan Harapan, Belang sedikit `kagum’ dengan daya tahan pemimpin-pemimpin mereka, terutama dari DAP.
Masih Belang ingat lagi, walaupun didesak berulang kali supaya Guan Eng bercuti sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang sementara kes pengurusan rasuahnya di mahkamah selesai sekitar tahun 2017, DAP dan Lim Kit Siang buat tuli sahaja.
Guan Eng ketika itu mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan dan pembelian lot tanah serta sebuah banglo di Jalan Pinhorn di Georgetown di bawah nilai pasaran.
Namun, sebahagian orang ‘buta’ dengan permainan Kit Siang dan DAP ketika itu. Isu perjuangan rasuah yang ditonjolkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pun semasa itu seolah-olah ‘meludah ke langit, terkena batang hidung sendiri’.
Lihatlah bagaimana dimomokkan Malaysia akan bankrap sejak 2017 lagi.
Kalau tak silap Oktober 2017 negara ini `sudah habis lingkup’. Inilah fitnah cukup besar. Inilah yang dimainkan oleh puak-puak DAP ini.
Tapi macam mana sebuah negara yang ‘hampir nak muflis’ ini begitu sesak pula Stadium Bukit Jalil dengan kontinjen-kontinjen atlet negara rantau ini dan rakyat tempatan sendiri menyertai dan menyaksikan temasya Sukan SEA 2017?
Masakan pula atlet-atlet Malaysia yang ‘kononnya datang dari negara yang sedang tenat ekonominya ini’ boleh tiba-tiba muncul mengaut lebih 140 pingat emas – yang terbanyak dalam sejarah sukan itu. Bukankah ‘dek kerana tenat ekonomi yang diuar-uarkan pembangkang dengan prasarana sukan jadi daif dengan mesin-mesin latihannya rosak dan berkarat’, tetapi mengapa pula muncul juara dunia renang papan anjal dan basikal datang dari kalangan atlet Malaysia?
Dan hari ini fitnah Malaysia akan bankrap itu terjawab sudah. Rupa-rupanya sehingga sekarang Malaysia masih wujud, ditambah pula dengan pakej rangsangan RM250 bilion untuk menyelamatkan ekonomi rakyat akibat Covid-19.
Sudah tentu pembangkang hari ini dalam kalangan Parti Amanah dan PKR, usahlah kecewa atau kecil hati kalau UMNO dan Pas lebih diyakini orang Melayu untuk memperjuangkan isu-isu berkaitan Islam.
Contoh paling dekat dengan orang Melayu ialah apabila Parti Amanah dan Parti Bersatu sekitar tahun 2017 cuba menghalang pelaksanaan hukuman lebih berat di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, pindaan Rang Undang-Undang (RUU 355) sebelum ini.
Ini sehinggakan disifatkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai melakukan kejahatan yang tidak boleh diizinkan oleh umat Islam.
“Maka, begitulah RUU 355 terus menghadapi gangguan syaitan besar dan kecil, sekurang-kurangnya mewas-waskan hati manusia,” kata Abdul Hadi menerusi tulisan di Facebook April 2017.
Yang hairannya, mereka yang menentang RUU 355 berkenaan bukanlah orang baharu yang baru kenal dengan hasrat dan matlamat pelaksanaannya.
Salahuddin Ayub, Khalid Abdul Samad dan Mohamad Sabu bukankah anda semua dari Pas dulu? Malah yang lebih menghairankan RUU 355 ini tidak menjentik sedikit pun orang bukan Islam. Tujuannya murni untuk memperkasakan Mahkamah Syariah.
Tetapi dek bermain-main di belakang tabir DAP, inilah menyebabkan ketua-ketua Melayu dalam pakatan itu menikus tanpa memperjuangkan RUU 355.
“Mereka menjerit sambil melaungkan kata-kata kurang sopan kerana marahkan Pas hendak memperkasakan undang-undang yang berkaitan dengan umat Islam.
“Mereka ini bukanlah ciri-ciri anggota Parlimen sejati yang dipilih rakyat, sebaliknya hanya memperlihatkan akhlak murahan, “ kata Abdul Hadi tempoh hari.
Orang Melayu mesti renung-renungkan apa yang sempat Belang nukilkan ini – atas semangat cintakan Islam dan nasib anak bangsa.
Dan sekali lagi Belang ucapkan terima kasih kepada Ahmad Zahid. Dek kerana usahanyalah dengan dibantu oleh-Nya, Muafakat Nasional muncul tegap hari ini untuk memperjuangkan isu-isu orang Melayu yang terpedaya seketika dalam 22 bulan Malaysia diperintah Pakatan Harapan.
-SM