Parlimen

MPN mainkan peranan signifikan jayakan RMK-12

PERANAN Majlis Pemulihan Negara (MPN) menjayakan pelan pemulihan negara menjadi amat signifikan dalam mencapai objektif Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12)

Pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, MPN boleh menjadi pembuka jalan dan pemangkin kepada pembaharuan dan perubahan yang perlu dilaksanakan dalam proses reformasi dan transformasi yang dirancang.

“Satu cara untuk RMK-12 mencapai sasarannya menjadikan Malaysia sebuah negara yang Makmur, Inklusif dan Mampan adalah dengan semua pihak mengetepikan perbezaan yang ada dan bersatu di bawah payung Keluarga Malaysia, berusaha sedaya upaya meningkatkan produktiviti dengan kemampuan dan kebolehan masing-masing,” katanya.

Tegasnya, ketika ini negara mula melihat cahaya di hujung terowong daripada krisis yang ditimbulkan oleh pendemik Covid-19.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan atau PICK merupakan kejayaan terbesar negara yang menyaksikan Malaysia antara negara terpantas di dunia dalam liputan vaksinasi populasi dewasa.

Berdasarkan statistik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV), setakat 28 September, sejumlah 19,912,566 individu atau 85.1 peratus sudah lengkap divaksinasi manakala 21,993,709 individu atau 94 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Justeru Ahli Parlimen Pagoh itu mengharapkan RMK-12 menjadi ‘real shift’ untuk mengangkat aspirasi Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dalam Semangat Keluarga Malaysia.

Tambahnya, RMK-12 akan menjadi `kick-start’ untuk mengembalikan era kemakmuran yang pernah dinikmati dan mungkin lebih baik lagi kesejahteraan rakyat terus terpelihara, kelestarian pembangunan di utama dan transformasi struktur ekonomi diperkukuhkan.

“Sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), saya memikul amanah untuk memastikan segala strategi dan usaha-usaha pemulihan negara yang dirancang dapat dilaksanakan tanpa halangan.

“Mesyuarat pertama MPN telah memutuskan untuk menubuhkan Majlis Pemulihan di setiap negeri supaya setiap keputusan dilaksanakan segera dan proses pemulihan dapat benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

“Antara cabaran besar kerajaan ialah menjana hasil negara untuk membiayai lebih banyak program pembangunan fizikal dan sosio-ekonomi,” kata Muhyiddin dalam perbahasan RMK-12 di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, kedudukan fiskal negara memerlukan kerajaan bersikap lebih berani untuk memperkasa peranan sektor swasta sebagai enjin pertumbuhan ekonomi, menerusi usaha seperti kerjasama sektor Awam-Swasta atau Public Private Partnership (PPP).

Peranan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan – GLC dan GLIC – perlu dinilai semula agar aset-aset kerajaan yang ada dapat dioptimumkan untuk membantu mengukuhkan infrastruktur negara bagi memantapkan proses baik pulih ekonomi dan pertumbuhan ekonomi selanjutnya.

Muhyiddin turut menyokong pelan kerajaan berhubung pelaksanaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) ke Johor Bahru dan mencadangkan untuk disambung dengan HSR dari Bangkok ke sempadan Malaysia-Thailand dengan pembiayaan swasta yang melibatkan konsortium kewangan dalam negara.-  SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button