MPK akan hapus tong sampah tepi jalan secara berperingkat
Majlis Perbandaran Kangar (MPK) menyasarkan untuk melupuskan tempat pembuangan sampah tepi jalan secara berperingkat dan mengambil tindakan serta menyelesaikan aduan dalam masa 24jam atau kurang bagi sebarang masalah yang dilaporkan oleh rakyat negeri Perlis yang tidak melibatkan isu-isu dasar.
MPK juga akan menjalankan penambahbaikan kemudahan dan prasarana yang berada di bawah tanggungjawabnya termasuklah tempat pembuangan sampah berpusat di seberang taman perumahan yang baharu termasuklah masalah ketiadaan tong sampah di depan rumah.
Pembinaan Taman Rekreasi Madani di lokasi terpilih juga merupakan agenda utama yang ditekankan dalam masa terdekat ini. Larangan dan pembehertian pembungkusan makanan atau minuman menggunakan polisterin putih turut akan dikuatkuasakan tidak lama lagi.
Demikian dipersembah maklumkan oleh Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Kangar (MPK), yang baharu Affendi Rajini Kanth kepada Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam sesi sembah mengadap di Galeri DiRaja Arau.
Beliau yang merupakan Pegawai Tadbir Diplomatik sebelum ini menjalankan tugas sebagai Pengarah di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kedah yang merupakan anak jati kelahiran Perlis dan pernah berkhidmat di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Sesi mengadap ini juga bertujuan bagi memohon titah pandangan dan nasihat Baginda Tuanku Pemangku Raja mengenai beberapa perancangan pembangunan di negeri ini yang perlu ditambah baik supaya sentiasa berada pada tahap yang memuaskan demi kemaslahatan dan imej negeri Perlis yang kian juga menerima kunjungan pengunjung dan pelancong sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025 ini.