Mohamed Salah selamatkan gelandangan diganggu sekumpulan remaja
BINTANG Liverpool, Mohamed Salah telah menyelamatkan seorang lelaki gelandangan yang diganggu oleh sekumpulan remaja pembuat kacau.
Pemain sayap Reds itu bertindak menegur perbuatan anak-anak muda tersebut.
Salah kemudiannya telah menghulurkan 100 pound (RM537) kepada lelaki yang dikenali sebagai, David Craig itu.
“Mo (Salah) seorang yang hebat seperti mana dia di atas padang.
“Dia telah terdengar sekumpulan remaja berkata sesuatu kepada saya, dia kemudiannya berdepan dengan mereka dan menegur, ‘Anda mungkin akan jadi sepertinya dalam tempoh beberapa tahun akan datang.’
“Saya hanya tahu yang saya tidak berhalusinasi apabila Mo memberi saya 100 pound. Dia seorang legenda yang sempurna,” kata Craig.
Perbuatan mulia Salah itu berjaya dirakam menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), selepas Liverpool melakar kemenangan 3-1 ke atas Arsenal di laman sendiri pada 28 September lalu.
Rakaman tersebut memaparkan bintang antarabangsa Mesir berusia 28 tahun itu berhenti di stesen minyak tidak jauh dari Anfield dengan menaiki kereta jenis Bentley.
Craig hidup sebagai gelandangan sejak enam tahun lalu selepas dia berselisih faham dengan keluarganya dan tidur berhampiran stadium Liverpool.
Dia telah diganggu oleh sekumpulan lelaki yang melalui stesen minyak tersebut.
“Mo telah melihat beberapa orang budak lelaki mengganggu saya.
“Mereka bertanya nama saya, lalu mempersoalkan mengapa saya mengemis dan memberitahu saya agar mencari pekerjaan.
“Mo menyaksikan apa yang berlaku dan berkata sesuatu kepada mereka dan selepas itu, dia pergi ke mesin ATM.
“Saya hanya mampu tersenyum. Saya peminat dia.
“Mo adalah hero sebenar di mata saya dan saya mahu berterima kasih kepadanya,” kata bekas pekerja buruh berusia 50 tahun itu. – The Sun UK – SM