Politik

Ahli politik diajak buat gencatan, fokus bantu rakyat

AHLI politik diajak untuk melakukan gencatan politik buat sementara waktu bagi memberi fokus kepada agenda untuk membantu rakyat.

Ajakan itu dibuat oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki selepas menerima beratus-ratus aduan daripada rakyat mengenai tekanan hidup yang mereka hadapi berikutan kesan penularan wabak Covid-19.

“Saya sebenarnya ingin berkongsi cerita seorang pemandu Grab yang sempat saya tanya khabar dalam perjalanan ke pejabat. Rupa-rupanya saya adalah pelanggan kedua beliau.

“Sejak Subuh tadi, inilah pelanggan kedua saya. Tadi pun saya dapat RM4, campur dengan Tuan RM14 menjadikan sampai pukul 11.30 ni baru berjumlah RM18. Macam tulah nasib kami sekarang. Satu hari nak dapat RM50 pun bukan mudah dah sekarang. Kalau dulu RM150 hingga RM200 sehari itu biasa”. Demikianlah rintihan seorang rakyat marhain pemandu Grab kepada saya,” kata Asyraf Wajdi.

Aduan turut diterima menerusi media sosial. Mesej peribadi dihantar oleh seorang pekerja syarikat penerbangan.

“Beliau menulis kepada saya, “Saya dan ramai rakan-rakan kini berdepan dengan kesempitan hidup. Dahulu dengan elaun sahaja boleh mencecah sehingga 5 angka, sudah cukup menampung kehidupan sekeluarga. Kini sudahlah elaun penerbangan dah tak ada, gaji pula dipotong.

“Nak minta bantuan tak layak kerana rekod kami di LHDN. Sudah mohon dilanjutkan moratarium daripada pihak bank sampai sekarang sepi tanpa berita. Tak tahu macam mana nak survive hujung bulan ni untuk bayar pinjaman rumah, kereta dan peribadi. Harap dapat membaca keluhan rakyat biasa macam saya,” kata Asyraf Wajdi.

Terkesan dengan beratus-ratus mesej daripada rakyat, Asyraf Wajdi mengajak semua ahli politik tanpa mengira parti untuk berhenti seketika daripada saling bersengketa.

“Buat ahli-ahli politik tidak kira mewakili mana-mana parti, ayuh kita lakukan gencatan politik seketika, meletakkan ke tepi perbezaan yang ada demi memikirkan solusi terbaik untuk sama-sama kita memfokuskan agenda membantu rakyat!” ajak Asyraf Wajdi.

Ketika ini ahli politik saling salah menyalah apabila jangkitan virus Covid-19 meningkat dengan ketara selepas Pilihan Raya Negeri Sabah.

Selain itu pengumuman Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau mempunyai sokongan ahli Parlimen sekaligus menyingkirkan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin menambahkan lagi iklim panas politik negara.

Pada masa yang sama kehidupan rakyat terhimpit berikutan kemelesetan ekonomi yang diakibatkan oleh pandemik Covid-19 yang menyaksikan beratus-ratus ribu orang kehilangan pekerjaan dan menjejaskan perniagaan.-SM

 

 

 

(Visited 130 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button