Politik
Mohamad Sabu masih diperlukan Amanah
KETOKOHAN Datuk Seri Mohamad Sabu masih diperlukan oleh Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai presiden kerana beliau disegani lawan dan kawan untuk mengemudi serta menstabilkan parti itu.
Timbalan Pengerusi Amanah Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly berkata, akan tiba masanya berlaku peralihan kuasa dan kepimpinan dalam parti tetapi pada masa sekarang ketokohan Mohamad masih diperlukan.
Beliau yang juga Ketua Kawasan Rompin berkata, sekarang bukan masanya untuk menggantikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu dengan pemimpin lain.
“Berbaki tempoh satu penggal tempoh maksimum menjawat jawatan presiden menurut perlembagaan parti, buah fikiran Abang Mat (Mohamad Sabu) masih diperlukan mengemudi dan menstabilkan parti,” katanya seperti yang dipetik dari Sinar Harian.
Mohd Fadzli berkata, parti itu tidak pernah ketandusan pelapis kepimpinan muda, dan pemilihan dalam parti itu boleh dijadikan medan untuk meletakkan mereka sebaris dalam saf kepimpinan baharu peringkat nasional.
“Namun, seorang berpengalaman tetap diperlukan sebagai mentor untuk memimpin, mendidik dan membentuk generasi pemimpin pelapis yang berkualiti untuk negara ini,” katanya.
Mohd Fadzli turut mengingatkan, bahawa parti itu mencapai kemuncak kejayaan di bawah kepimpinan Mohamad Sabu apabila memenangi 11 kerusi Parlimen dan membantu membentuk kerajaan sebanyak dua kali iaitu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan PRU-15.
“Pemimpin parti ini telah dilantik mengetuai empat kementerian pada penguasaan buat pertama kalinya di peringkat kerajaan persekutuan. Di peringkat kerajaan negeri pula, Adly Zahari telah dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka,” jelas beliau.
Sehubungan itu beliau membidas tentang usaha untuk menukar kepimpinan baharu termasuk presiden parti itu atas alasan mahu ke hadapan dan diterima rakyat.
“Bagi menjawab premis ini, sewajarnya prestasi dan kedudukan Amanah pada hari ini diperhalusi demi penilaian yang saksama. Parti Amanah adalah komponen termuda usia kelahirannya dalam gabungan bersama Pakatan Harapan.
“Dalam usia remaja ini, parti ini telah diberikan kepercayaan memimpin beberapa Kementerian strategik setelah mengambil alih pemerintahan negara pada PRU-14 dan PRU-15 lalu.
“Pimpinan parti yang diketuai oleh presiden sendiri telah membuktikan kemampuan mereka untuk mentadbir dan membawa perubahan positif di peringkat kementerian masing-masing.
“Secara spesifik, Mohamad Sabu selaku Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah berjaya membawa negara keluar dari kemelut krisis makanan pascapandemik COVID-19.
,” katanya.- SM