MMU tawar yuran istimewa pengambilan September 2021
Universiti Multimedia (MMU), sebuah universiti terkemuka dalam pendidikan teknologi maklumat dan komunikasi, menawarkan yuran istimewa untuk program asasi serta pengecualian yuran kemasukan untuk program Diploma bagi pengambilan September 2021.
MMU menawarkan harga istimewa serendah RM6,000 untuk kesemua program asasi yang ditawarkan kecuali Perundangan, sebagai satu inisiatif untuk meringankan beban ibu bapa dan penjaga pelajar lepasan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang terjejas akibat pandemik COVID-19. Pada masa yang sama, MMU juga mengecualikan yuran kemasukan bagi mereka yang berminat untuk mengikuti program Diploma.
Presiden MMU, Prof. Dato’ Dr. Mazliham Mohd. Su’ud berkata, langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha universiti dalam memperjuangkan pendidikan tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia, dan usaha ini mempunyai hubungan langsung dengan matlamat melahirkan pemimpin masa depan negara.
“Mengasuh pemimpin masa depan merupakan proses penting dalam pembangunan negara, dan usaha ini tidak sewajarnya dibiarkan terhenti atau tergendala biarpun dalam apa jua keadaan,” katanya.
“Kami menyedari sepenuhnya bahawa pandemik ini telah menyebabkan ramai dalam kalangan ibu bapa dan penjaga mengalami penurunan dalam kemampuan kewangan, yang mengakibatkan mereka menangguhkan rancangan untuk menghantar anak-anak melanjutkan pelajaran, atau mereka membatalkan rancangan itu sepenuhnya,” katanya.
“Jika hal ini terjadi, negara akan mengalami kerugian, dan bagi mengelakkan perkara itu, kami memainkan peranan kami dalam membantu memastikan anak muda Malaysia dapat melanjutkan pengajian seperti biasa.”
Prof. Mazliham seterusnya memberitahu bahawa tawaran tersebut mencerminkan komitmen MMU untuk melahirkan pemimpin masa depan negara dengan ilmu pengetahuan tercanggih dan kemahiran digital yang relevan dengan peredaran zaman.
Bagi pengambilan bulan September, MMU juga telah menurunkan kadar yuran pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada RM27,000 kepada hanya RM19,500 setiap pelajar. Prof Mazliham berkata langkah itu adalah rasional kerana pembentukan pemimpin masa depan terdiri daripada individu pada pelbagai peringkat pengajian, dan bukan hanya untuk pelajar ijazah bacelor.
Di samping bantuan kewangan ini, MMU juga menawarkan pelbagai biasiswa kepada pelajar yang layak seperti Biasiswa Presiden, Biasiswa Merit, dan Biasiswa Kecemerlangan Sukan.
Biasiswa Presiden merupakan biasiswa yang paling didambakan oleh pemohon. Biasiswa Presiden ialah biasiswa penuh yang merangkumi 100 peratus tajaan yuran pengajian untuk program peringkat asasi, diploma, atau bacelor. Berikutan nilainya yang tinggi, pemohon akan ditemu duga dengan mengambil kira latar belakang sosioekonomi mereka.
Sementara itu, Biasiswa Merit pula membolehkan pengurangan jumlah yuran sehingga 50 peratus untuk program asasi, diploma, atau bacelor, manakala Biasiswa Bakat MMU merangkumi 50 peratus atau 100 peratus tajaan pengajian yuran, bergantung pada kecemerlangan bakat pelajar pada peringkat negeri atau nasional samada dalam bidang sukan, musik, debat, kesenian, pementasan and penulisan. Selain itu, MMU turut menawarkan peluang biasiswa lain seperti tajaan daripada pelbagai yayasan, syarikat, dan organisasi.
Pendaftaran untuk pengambilan September akan diadakan pada 27 September 2021 dan kuliah akan bermula pada 4 Oktober 2021.