Politik

MKT UMNO bermesyuarat lagi malam ini

MAJLIS Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dilapor mengadakan mesyuarat di ibu pejabat di Menara Dato’ Onn malam ini.

Mesyuarat tersebut didakwa bakal membincangkan calon yang sesuai untuk diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beberapa pimpinan parti itu yang terdiri daripada Ahli MKT Seperti Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Tan Sri Noh Omar dilihat tiba di lobi menara tersebut.

Selain itu, turut kelihatan adalah Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Datuk Seri Ahmad Said, Datuk Jamaluddin Alias, Datuk Seri Razali Ibrahim dan Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Memetik laporan portal Malay mail, mereka dikatakan tiba seawal 7.45 malam bagi menghadiri mesyuarat yang dijadualkan berlangsung pada pukul 8 malam.

Sebelum ini terdapat laporan mengatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, meminta UMNO memilih seorang pimpinannya untuk dilantik sebagai Timbalannya.

Oleh demikian, empat nama termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan dicadang untuk jawatan tersebut.

Selain itu, nama Ahli Parlimen UMNO yang berada dalam Jemaah Menteri seperti Datuk Seri Ismail Sabri dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein juga dicadang untuk dipilih.

Bagaimanapun, UMNO dilapor tidak mencalonkan Mohamad, justeru tinggal tiga lagi nama untuk dipilih sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Terdapat laporan mengatakan pemilihan adalah sewajarnya mengikut hierarki dan Ahmad Zahid dilihat paling sesuai untuk menjawat jawatan tersebut.

Namun, ada pandangan mengatakan Ahli Parlimen Bagan Datoh itu mempunyai beban politik termasuk kes tuduhan rasuah yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur.

Sementara Hishammuddin pula dikatakan mendapat bantahan daripada pimpinan UMNO kerana beliau dilihat rapat dengan Muhyiddin dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Walau bagaimanapun, terdapat dakwaan mengatakan Muhyiddin mahukan Ahli Parlimen Sembrong itu menjadi Timbalannya.

Mesyuarat pada malam ini merupakan kali kedua selepas UMNO dalam mesyuarat sebelum ini menyatakan pendiriannya menyokong Kerajaan PN. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button