MKT malam ini tentukan nasib Zahid
Majlis Tertinggi (MT) UMNO perlu membuat keputusan berani mengambil tindakan ke atas Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk menggantung sementara tugas Presiden UMNO itu.
Ketua UMNO Bahagian Bakri, Mohd. Fuad Tukirin berkata, tindakan itu bagi membolehkan MT menilai semula perkara-perkara yang dilakukan beliau, apatah lagi pengakuan yang dibuat Presiden berhubung rakaman audio yang tersebar antara beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah suaranya.
“Ini memerlukan berjiwa besar MT untuk memperbaiki UMNO kepada landasan yang sebelum ini.
“Presiden kena digantung sementara supaya MT menilai semula perkara-perkara yang telah dibuat dalam Perhimpunan Agung UMNO lepas.
“Perkara ini sebenarnya kena bicarakan untuk mencari jalan penyelesaian, apabila Presiden mengaku (suaranya dalam audio) maksudnya dari segi integriti sudah tidak boleh dipercayai lagi untuk (pemilihan) akan datang,” katanya dalam kenyataan.
Petang ini satu aduan telah dibuat kepada Lembaga Disiplin UMNO menggesa menggantung tugas Ahmad Zahid selaku presiden dan pada masa sama siasatan dijalankan atas dakwaan salah laku ketika menggalas tanggungjawab itu.
Semalam, pula sumber MT mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Ahmad Zahid mengakui suara di dalam rakaman telefon yang tular bersama Presiden PKR itu sebelum ini adalah suaranya.
Kata sumber itu, Presiden parti turut membuat pengakuan telah menandatangani surat menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri semasa pertemuan bersama dengan ahli-ahli Parlimen UMNO di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia di ibu negara, kelmarin.
Mesyuarat MT parti dijadualkan pada malam ini yang antara lain bakal membuat keputusan yang akan menjadi hala tuju UMNO sebagai salah sebuah parti yang membolehkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bertahan sehingga ke hari ini.
Ramai pemimpin UMNO membuat gesaan agar Ahmad Zahid melepaskan jawatan demi kelangsungan parti itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Terbaharu, Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz membuat gesaan itu atas alasan Zahid tidak lagi mempunyai kredibiliti untuk memimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Ahli MT UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin pula turut membuat desakan sedemikian dan berkata, sudah tiba masanya Ahmad Zahid meletak jawatan sekiranya beliau berjiwa besar untuk melihat parti itu terus menjadi harapan rakyat khususnya orang Melayu.
Agenda lain adalah membincangkan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri Kanan Luar Negara.