Nasional

Migran Rohingya perlu dibantu atas sifat kemanusiaan

MAPIM menyeru 202 migran yang dipercayai etnik Rohingya yang telah ditahan di Langkawi pagi Ahad kelmarin diberi bantuan kemanusian sewajarnya.

Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kemasukan mereka ke negara ini secara tidak sah perlu disiasat kerana ada kemungkinan dalang sindiket pemerdagangan manusia beroperasi untuk membawa mereka masuk ke Malaysia.

“Kami amat prihatin terhadap keadaan 45 wanita, 4 kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan migran Rohingya yang menjadi mangsa dihanyut dalam bot yang ditemui.

“Dalam keadaan wabak Covid-19 memang perlu tindakan tegas diambil.
Namun mereka adalah manusia yang menjadi mangsa kepada sindiket.

“Kami mengesyorkan agar siasatan ke atas mereka terutama wanita dan kanak-kanak dapat dipercepatkan agar tidak berada dalam pusat tahanan terlalu lama,” katanya dalam kenyataan media.

Kerjasama dengan pihak UNHCR, kata beliau, perlu disegerakan untuk melihat bagaimana keselamatan dan dokumentasi mereka terurus dengan lancar.

“Pihak berkuasa juga perlu adakan kerjasama dengan NGO yang dapat menyumbang keperluan asas migran tersebut terutama wanita dan kanak-kanak,” katanya.

Baru-baru ini BERNAMA melaporkan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) menggesa pelarian dan pencari suaka di Malaysia yang mengalami gejala berkaitan COVID-19 untuk segera mendapatkan rawatan.

Pegawai Perhubungan Awam UNHCR Yante Ismail berkata terdapat laporan mengatakan komuniti berkenaan antara yang turut menyertai perhimpunan di Masjid Sri Petaling pada 27 Februari hingga 1 Mac.

“Pelarian dan pencari suaka yang berdaftar dengan UNHCR yang mempunyai gejala COVID-19 akan menjalani ujian saringan secara percuma di hospital kerajaan,” katanya kepada Bernama.

Yante berkata, UNHCR menyambut baik pengumuman kerajaan yang menyatakan golongan tidak mempunyai dokumen atau visa tamat tempoh termasuk pelarian dan pencari suaka politik, tidak akan ditahan ketika menjalani saringan COVID-19.

“UNHCR berharap kerajaan akan meneruskan dasar positif menyediakan rawatan dan ujian percuma terhadap individu yang mempunyai gejala COVID-19.

“Penting untuk tidak membezakan antara pelarian atau pencari suaka dengan penduduk lain apabila ia berkaitan dengan COVID-19. Tanggungjawab untuk mencegah dan mengurus terletak di tangan semua individu serta masyarakat di negara ini,” katanya.

Sehingga Februari tahun ini, terdapat kira-kira 178,990 pelarian dan pencari suaka berdaftar dengan UNHCR di Malaysia, termasuk kira-kira 154,080 dari Myanmar – terdiri 101,010 Rohingya, 22,810 Chins, dan 30,250 lagi lain-lain kerakyatan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button