KUALA LUMPUR: Mesej tular yang dikongsi di media sosial memberi amaran kepada rakyat Malaysia mengenai sindiket penculikan yang menyasarkan kanak-kanak berumur 15 tahun ke bawah untuk organ mereka adalah palsu.
Pengarah Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) A Skandaguru berkata mesej yang mendakwa sindiket itu menggunakan Proton Wira dan van putih dalam menjalankan aktivitinya, adalah versi semula mesej serupa yang tular pada 2016.
Beliau berkata polis tidak pernah mengeluarkan amaran melalui Gerakan Ibu Pejabat Kontinjen Bukit Aman seperti yang didakwa sindiket itu yang turut menyenaraikan harga bahagian tubuh manusia seperti jantung, hati, paru-paru, buah pinggang dan mata dalam mesej itu.
“PDRM mengesahkan tiada laporan polis mengenai penculikan dan penjualan organ manusia dibuat seperti yang didakwa dan tiada amaran sedemikian pernah dikeluarkan oleh Bukit Aman,” katanya.
Skandaguru menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai berita yang tidak berasas dan tidak sahih serta mengelak daripada berkongsi dan menyebarkan berita tersebut kerana ia boleh menimbulkan keresahan orang ramai.