Menghormati kuasa Prerogatif Yang di-Pertuan Agong mengikut perlembagaan
KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa prerogatif sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan. Kuasa ini meliputi pemberian ampun, penangguhan hukuman, dan pengurangan hukuman bagi kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya.
Selain itu, Baginda juga berhak untuk meremit, menggantung, atau meringankan hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah bagi kesalahan tersebut. Kuasa prerogatif ini dilaksanakan berdasarkan nasihat daripada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda sendiri.
Sehubungan itu, bagi mana-mana pihak yang ingin mencadangkan keampunan atau pengurangan hukuman untuk banduan tertentu, permohonan tersebut hendaklah dikemukakan oleh banduan berkenaan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan dalam mesyuarat yang akan datang.
Semua pihak diingatkan untuk terus menghormati Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang sedia ada.