Mengejutkan, Harimau Malaya Diancam Kepupusan Dalam Tempoh Lima Tahun!
HARIMAU Malaya berada di ambang kepupusan jika tiada langkah drastik yang ambil bagi membendung masalah tersebut.
Memetik laporan Malay Mail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, harimau Malaya akan pupus dalam tempoh seawal lima tahun hingga satu dekad.
Tambahnya, populasi harimau Malaya berada pada tahap yang membimbangkan dan mereka sangat terancam.
“Berdasarkan Tinjauan Harimau Kebangsaan Pertama (NTS1) yang dilakukan dari 2016 hingga 2020, anggaran populasi harimau Malaya adalah kurang, saya ulangi, kurang daripada 200.
“Berdasarkan angka tersebut, dianggarkan harimau Malaya akan pupus sepenuhnya dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun jika tiada langkah drastik dilakukan segera,” katanya kepada Ahli Parlimen Kemaman Che Alias Hamid.
Wan Junaidi menjawab bagi pihak Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang tidak hadir ke Parlimen selepas dijangkiti Covid-19.
Sebelum ini, Che Alias daripada PAS telah meminta kerajaan menyatakan usaha yang diambil untuk melindungi harimau Malaya daripada pupus.
Wan Junaidi berkata, kerajaan bercadang melanjutkan moratorium pemburuan rusa Sambar iaitu mangsa kegemaran dan sumber makanan utama harimau Malaya yang dijangka tamat bulan ini.
Selain itu, kerajaan bersetuju dengan sembilan tindakan strategik berdasarkan tiga pendekatan untuk pemuliharaan spesies itu untuk tempoh 10 tahun dari 2021 hingga 2030.
“Langkah pertama, memperkasakan penguatkuasaan, rondaan di darat, dan pemeliharaan dan pemuliharaan habitat semula jadi harimau Malaya.
“Langkah kedua, meningkatkan tadbir urus yang baik dan keberkesanan dalam pelaksanaan usaha pemuliharaan.
“Langkah ketiga, memperkukuh inisiatif untuk memastikan kemandirian spesies harimau Malaya melalui penyediaan instrumen kewangan inovatif dan skim akreditasi habitat harimau Malaya,” katanya
Beliau juga meminta agar aktiviti penebangan hutan yang tidak terkawal dihentikan kerana aktiviti tersebut akan menyebabkan kawasan perburuan harimau berkurang.
Perkara tersebut boleh memaksa haiwan tersebut berkonflik dengan populasi manusia untuk mencari sumber makanan alternatif.
“Sebenarnya, masalah di sini ialah manusia sendiri kerana habitat semula jadi harimau adalah hutan belantara tetapi sebaliknya kita telah menebangnya.
“Oleh itu, habitat hutan yang semakin berkurangan memaksa haiwan itu untuk bersemuka dengan populasi manusia kerana mereka mempunyai kawasan perayauan yang besar,” katanya.
Selain itu, salah satu usaha pemuliharaan utama yang sedang dijalankan oleh kerajaan adalah bekerjasama dengan zoo di peringkat tempatan dan antarabangsa bagi memastikan spesies itu dapat dipelihara sama ada melalui pembiakan semula jadi atau buatan.
Sejak beberapa tahun lalu, harimau Malaya telah berkurangan secara drastik dalam populasi disebabkan oleh pemecahan habitat yang disebabkan oleh pencerobohan manusia, eksploitasi komersial dan kehilangan sumber makanan utamanya.
Perkara tersebut dikategorikan sebagai Dilindungi Sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar, dan diklasifikasikan sebagai Terancam Kritikal di bawah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi Senarai Merah untuk Spesies Terancam. -SM