MENANGANI KEJUTAN MORATORIUM DAN PKPB DENGAN HIKMAH
Oleh Herniza Roxanne Marcus
Minggu ini kita dikejutkan dengan isu moratorium yang pada awalnya dianggap tepat pada masanya ketika rakyat dan negara bergelut mendepani wabak Covid-19.
Bank Negara Malaysia (BNM) dirai sebagai wira kerana prihatin dengan beban kewangan para peminjam. Walaubagaimanapun, selang sebulan, tiba-tiba rakyat ‘dikejutkan’ dengan syarat moratorium yang selama ini ramai sepertinya terlepas pandang.
Perubahan syarat ini melibatkan Pembiayaan Sewa Beli berkonsepkan Islamik dan kadar keuntungan tetap. Ini termasuklah pembiayaan kereta dan rumah.
Antara pilihan yang ada bagi peminjam secara ringkasnya adalah, memilih untuk membayar seperti biasa, membayar secara sekali gus pada bulan Oktober nanti, dan memilih untuk tidak membayar secara bersyarat selama 6 bulan.
Dalam hal ini, pihak bank antara lain akan mengira pertambahan pembayaran bulanan yang akan dibayar oleh peminjam jika memilih untuk memanjangkan tempoh pembiayaan.
Walaubagaimanapun, nampaknya sebilangan besar rakyat masih keliru dan akhirnya kecewa berikutan terpaksa merombak semula rancangan kewangan mereka.
Namun, hakikatnya, institusi perbankan seperti juga entiti perniagaan yang lain ada kos operasi yang perlu ditanggung berikutan perkhidmatan perbankan dikategorikan sebagai perkhidmatan penting semasa Perintah Kawalan Pergerakan(PKP).
Jika pendapatan bank merudum mendadak selama 6 bulan, tidak mustahil pengurangan pekerja terpaksa dilakukan. Ini hanya akan meningkatkan kadar pengangguran sedia ada sekali gus memburukkan lagi kegawatan ekonomi negara.
Barang diingat, institusi perbankan juga adalah salah satu tulang belakang ekonomi negara. Jika ia lumpuh, ekonomi negara akan menghadapi krisis yang lebih panjang.
Belum reda isu moratorium, sekali lagi rakyat dikejutkan dengan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat(PKPB) mulai 4 Mei sedangkan PKP sedia ada telah dilanjutkan sehingga 12 Mei.
Sekali lagi ramai pihak terkesima dan bimbang. Kebimbangan ini ada asasnya berikutan risiko jangkitan Covid-19 masih belum tuntas berakhir. Antara yang menjadi persoalan ialah sejauh manakah semua rakyat mematuhi Garis Panduan (SOP) PKPB ini?
Tidak dinafikan ramai juga di kalangan rakyat yang faham rasional di sebalik PKPB terutama sekali apabila melihat situasi genting perniagaan yang berterusan kehilangan punca pendapatan sepanjang lebih 40 hari lepas.
Malah umum tahu negara mengalami kerugian sebanyak RM2.4 billion setiap hari dan perlanjutan PKP hanya akan menyebabkan ekonomi negara menjadi lebih sukar dan lama untuk pulih.
Melihat kepada situasi ini, kerajaan telah mengumumkan beberapa langkah mitgasi seperti Geran Khas Prihatin bagi membantu peniagakecil dan sederhana yang terjejas.
Kerajaan juga akan menyediakan pelan pemulihan ekonomi disusuli dengan pengumuman Bajet 2021 pada bulan November. Rancangan Malaysia ke-12 juga sedang disediakan.
Berbalik kepada isu moratorium, apa yang terjadi sebenarnya ialah kekhilafan komunikasi. Moralnya disini ialah niat baik dan telus BNM boleh disampaikan dengan cara yang lebih baik.
Justeru, penting untuk BNM memastikan agar komunikasinya dengan rakyat selepas ini diolah dalam bahasa dan cara yang mudah difahami rakyat. Elakkan penggunaan bahasa kewangan yang kompleks.
Bergerak ke hadapan, dalam mendepani PKPB, rakyat mesti serius dengan kepatuhan sosial bagi memutuskan rangkaian Covid-19 agar negara tidak mengalami nasib yang sama seperti beberapa negara lain setelah mereka melonggarkan PKP.
Mustahak bagi segenap lapisan masyarakat dan industri untuk membiasakan diri dengan budaya normal baharu bagi memastikan kelangsungan dan kelestarian ekonomi dan kemaslahatan rakyat.
Sebagai sebuah kerajaan prihatin, kegusaran awam mesti ditangani dengan lebih berhemah dan berhikmah. Semoga selepas ini tiada lagi kejutan yang tidak sepatutnya.
PENULIS adalah Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (Ekonomi) UiTM Sabah