MB Perak tewas usul undi percaya
MENTERI Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tewas dalam usul undi percaya yang dilakukan terhadap beliau hari ini.
Dalam usul yang diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak 10 ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bersetuju, 48 tidak bersetuju dan satu berkecuali terhadap kedudukan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak.
Menerusi surat bertarikh 18 November, Abd Manaf Hashim (UMNO-Pengkalan Baharu) menyatakan Faizal (Bersatu-Chenderiang) tidak mempunyai keyakinan majoriti Adun di negeri itu.
Justeru, beliau memohon membawa satu usul dan mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan di bawah Perintah-Perintah Tetap 26 (1) dibaca bersama Perintah Tetap 27 (3) Dalam Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan.
Abdul Manaf memberi alasan bahawa adalah satu keperluan untuk mendapat keabsahan mengenai kedudukan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak berikutan hubungan tidak baik dengan parti utama dalam komponen kerajaan negeri iaitu UMNO/Barisan Nasional.
Sementara itu, Mohamad Zahir berkata, usul undi percaya terhadap Faizal menepati syarat dan tidak melanggar peraturan DUN dengan 45 Adun bersetuju usul ini diluluskan manakala 9 Adun tidak bersetuju.