Mayat remaja yang dikhuatiri lemas di Bentong ditemui
MAYAT seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang dikhuatiri lemas ketika berenang bersama tiga rakannya di D’Kasai Riverside (Monkey Rock) berhampiran penempatan Orang Asli Kampung Gabong di sini, ditemui malam tadi.
Jenazah Muhammad Syafiq Akmal Zaidi ditemui penyelam Unit Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat pada kedalaman 2.4m, di dasar sungai.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Zulfadli Zakaria berkata mangsa dari Felda Lakum, Lanchang telah pergi ke tempat perkelahan bersama tiga rakannya kira-kira jam 5 petang.
“Keempat-empat rakan itu berada di dalam sungai apabila Shafiq Akmal dipercayai tergelincir dan terjatuh sebelum dihanyutkan arus deras. Rakannya memaklumkan bantuan kira-kira jam 5.10 petang sebelum 10 anggota bomba dari balai bomba Bentong dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Akibat arus sungai yang deras, penyelam PPDA dikerahkan untuk membantu mengambil mayat mangsa. Mayat dibawa ke tebing sungai kira-kira jam 9.35 malam sebelum diserahkan kepada polis,” katanya. -SM
Baca juga : Dua remaja lelaki dibawa arus ditemukan lemas