Mayat bayi perempuan ditanam dalam simen
MAYAT seorang bayi ditemukan tertimbus dalam simen di anjung sebuah rumah di Taman Sri Rokam, Jalan Pasar, di sini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dalam satu kenyataan memberitahu, pakar patologi di Hospital Raja Permaisuri Bainun, mengesahkan bayi perempuan itu dipercayai bersalin pada usia kandungan tujuh bulan.
Pemeriksaan bedah siasat akan dijalankan esok, katanya sambil menambah tiada sebarang kecederaan ditemui pada mayat.
Abang Zainal juga berkata polis sedang mengesan seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai menjadi penyewa rumah itu sejak tiga tahun lalu.
Dia kali terakhir dilihat kira-kira sebulan yang lalu.
Beliau berkata, pemilik rumah yang tinggal berhampiran memberitahu polis bahawa wanita itu hamil ketika dia pergi mengutip sewa bulanan.
Abang Zainal berkata penyewa baharu itu, seorang lelaki warga Indonesia berusia 37 tahun, menemui mayat dalam keadaan berbalut kain sarung sekitar tengah hari ini ketika sedang menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian. – SM