Mayat aktres Thailand ditemukan terapung di Sungai Chao Praya
KESERONOKAN menaiki bot bersama lima rakan menyusuri Sungai Chow Praya, Thailand bertukar menjadi tragedi apabila salah seorang penumpang, aktres Tangmo terjatuh ke dalam sungai dan lemas.
Mayat Tangmo ditemukan terapung di sungai berkenaan selepas pasukan penyelamat berjaya menemukannya, menurut laporan Thaiger.
Anggota pasukan penyelamat dari Yayasan Ruamkanyu melaporkan, telah menemukan mayat aktres cantik ini yang nama sebenarnya Pataratida Patcharaveerapong dalam keadaan terapung di sungai itu sekitar pukul 2.10 petang waktu tempatan, semalam.
Seorang aktor, Eakpan Bunlueit yang turut menjadi sukarelawan dalam misi pencarian itu, mengesahkan mayat yang ditemukan itu ialah Tangmo.
Mayat Tangmo terapung berhampiran Jeti Pibul Songkhram 1, di bandar Nonthaburi.
Pihak polis bertindak menutup kawasan tersebut bagi memberi ruang privasi kepada kaum keluarga mendiang dan rakan untuk mengenang Tangmo.
Pihak media dihalang daripada memasuki kawasan tersebut.
Mayat aktres itu dibawa ke Institut Pusat Sains Forensik, Hospital Universiti Thammasat bagi bedah siasat.
Akbar Bangkok Post melaporkan, pemandu bot berkenaan yang dikenali sebagai Por, bakal didakwa atas kecuaian menyebabkan kematian penumpang.
Por dikatakan bertindak menghubungi pihak polis dan dia bersetuju disoal siasat serta menjawab sebarang pertuduhan. – SM