Penduduk Kampung Tebing Tinggi pelihara amalan kenduri gotong royong
TAK lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Tradisi yang diwariskan daripada satu generasi ke satu generasi seharusnya dipelihara dan tidak dibiarkan luput ditelan arus kemodenan.
Amalan dan tradisi gotong-royong dalam sesebuah majlis kenduri tidak kira sama ada kenduri kahwin atau kenduri aqiqah dan kenduri berkhatan, boleh dikatakan telah pupus.
Kini urusan penyediaan makanan untuk majlis kenduri kecil atau besar telah diambilalih sepenuhnya oleh pengusaha catering dan senario ini bukan sahaja berlaku di bandar malah di ceruk-ceruk desa dan kampung.
Penulis sendiripun sebenarnya telah berpuluh-puluh tahun tidak melihat suasana “kekecohan dan riuh rendah” amalan bergotong-royong dalam majlis kenduri.
Rindu untuk melihat suasana ini akhirnya terubat apabila seorang sahabat sejak kecil, Zarulillah Saad, 54, yang tinggal di Kampung Tebing Tinggi, Bintong, Perlis menjemput wartawan SUARA MERDEKA untuk hadir ke majlis kenduri berkhatan dua orang cucunya.
“Asalnya cucu sulong saya, Mohd Qaleel Afif Mohd Hafizi, 9, mahu berkhatan. Adiknya, Mohd. Qusyairi yang berusia 5 tahun, pun mahu mengikut abangnya maka kita sekalikanlah,” katanya sambil tersenyum.
Beliau memberitahu, kedua-dua orang cucunya itu menetap di Kulim, Kedah tetapi mengambil kesempatan sempena cuti sekolah untuk balik ke kampung di Tebing Tinggi ini untuk berkhatan.
Zarulillah berkata, niat pada mulanya mahu mengadakan makan-makan sempena majlis berkhatan cucu-cucunya itu secara ringkas sahaja.
“Mulanya bercadang hendak sediakan bihun goreng sahaja untuk tetamu yang datang melawat tetapi bertukar jadi sebuah majlis yang besar.
“Hasil perbincangan dengan adik-beradik, saudara-mara, jiran tetangga dan sahabat-handai, semua bersetuju untuk bergotong-royong memasak” katanya yang bersyukur kerana tradisi bergotong royong ini masih tebal dalam hati penduduk Kampung Tebing Tinggi.
Kata Zarulillah lagi, dia merasakan amat bernasib baik kerana majlis kenduri kahwin anak-anaknya sebelum ini, diadakan secara gotong royong apabila masuk bab masak memasak dan menyediakan hidangan untuk tetamu.
Tambah beliau, bukan setakat memasak secara bergotong-royong tetapi ada yang sudi membantu dengan memberikan bahan-bahan mentah untuk memasak lauk-pauk di majlis kenduri.
Apa yang menariknya di sini ialah mereka yang datang melakukan kerja-kerja secara bergotong-royong ini, disediakan pula dengan makanan pagi iaitu putu mayang istimewa dari Kuala Perlis.
Tambah menarik lagi, mereka yang mengendalikan masak nasi, sebaik saja selesai memindahkan nasi yang dimasak secara tradisional iaitu nasik dimasak di dalam kawah, dipindahkan ke dalam bekas dan kerak nasinya tidak dibuang.
Kerak nasi dijadikan satu hidangan istimewa tradisi yang mana mereka yang sibuk mengerjakan kerja masing-masing, akan berhenti seketika untuk menikmati kerak nasi yang dicampurkan dengan santan dan sedikit garam.
Bagi wartawan SUARA MERDEKA yang pertama kali melihat cara makan kerak nasi ini yang diletak beralaskan daun pisang, rasanya sedap dan enak.
Kata Zarulillah, masakan yang disajikan pada majlis kenduri untuk dijadikan lauk kebanyakkanya tidak perlu dibeli.
Tidak perlu rasa terkejut atau pelik kerana jika melihat di sekeliling, ada sahaja yang boleh dijadikan bahan masakan dan lauk-pauk, kata Zarulillah.
“Keladi banyak tumbuh meliar di tepi rumah, Ini boleh dijadikan sayur. Ada yang datang ke kenduri, mereka bagi jantung pisang yang dipetik dari pokok tanam sendiri dan ayam kampung pula, juga dibela sendiri.
“Jadi, selain amalan gotong royong memasak, bahan-bahan yang dimasak pun sama ada dipetik atau dibela sendiri oleh penduduk di sini,” ujarnya.
Kata Zarulillah, jantung pisang digunakan untuk dua jenis masakan iaitu gulai ayam dan dibuat kerabu. Lazat!
Sekarang pula adalah musim mempelam bemban dan kata Zarulillah, mempelam ini sebenarnya sukar diperoleh sebab ia mempelam spesies lama dan sangat sedap apabila dicampur dengan sambal belacan.
Menu atau identiti wajib majlis kenduri orang Kampung Tebing Tinggi, tidak lain dan tidak bukan iaitu sambal serai dibuat oleh saudara Zarulillah, Rosni Salim atau lebih mesra dengan panggilan Kak Ah.
Kak Ah, kata Zarulillah, memang handal dalam membuat sambal serai dan kalau sekali rasa, pasti nak makan lagi.
Kata Zarulillah, tidak ketinggalan menu yang wajib ada dan popular dalam masakan majlis kenduri di Perlis ialah ikan pekasam.
“Tidak cukup dengan itu, disediakan pemanis mulut bubur pulut hitam dan bubur gandum selain karipap dan lompang untuk dinikmati tetamu sebelum pulang,” kata Zarulillah mengakhiri berbualan. – SM