Politik

Masih berbunyi lagi pelantikan MB Johor baharu

RUMAH sudah siap, pahat masih berbunyi. Peribahasa ini lazimnya digunakan oleh wartawan hiburan dalam mempersoalkan kemenangan seseorang artis dalam mana-mana anugerah yang dipertandingkan.

Peribahasa ini tidak dimiliki atau pattern hanya untuk kegunaan wartawan-wartawan hiburan sebaliknya peribahasa itu bebas digunakan oleh sesiapa sahaja bagi menggambarkan sesuatu senario atau keadaan semasa.

Masih ada yang terkejut beruk apabila pelantikan Menteri Besar Johor yang ke-19 atau MB Johor yang baharu bukan Datuk Hasni Mohamad.

Semalam, Majlis Angkat Sumpah MB Johor baharu di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, disaksikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Tengku Mahkota Johor (TMJ) Tengku Ismail Idris Ibni Sultan Ibrahim.

Anak muda yang menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Datuk Onn Hariz Ghazi diperkenan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor yang baharu.

Onn Hariz berusia 44 tahun dan beliau juga merupakan sepupu kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Sudah pun selesai majlis angkat sumpah MB Johor dan pastinya, hari ini Onn Hariz masuk pejabat MB di Bukit Timbalan, Johor Bahru.

Akan tetapi, walaupun seluruh Bangsa Johor sudah maklum akan pelantikan Onn Hariz namun masih berbunyi, berciap, berkata-kata dan berbisik-bisik mempersoalkan, kenapa Onn Hariz yang dilantik?

Ada yang takut-takut berani mengaitkan pelantikan Onn Hariz dengan sebuah syarikat milik kerabat diraja tetapi keberanian mempersoalkan itu dan ini hanya dilakukan dalam aplikasi WhasApp.

Setakat ini, tiada lagi yang berani secara terang-terangan ataupun secara terbuka mempersoalkan dan mengaitkan  tentang Hasni tidak dilantik sebagai MB Johor disebabkan oleh … (dot dot dot).

Itulah ‘abang jagoh’ kita yang berani bersuara di belakang. Umpama baling batu, sembunyi tangan.

Sepatutnya apabila sudah dilantik Onn Hariz sebagai MB Johor, berilah beliau ruang untuk bernafas dan peluang untuk beliau memikul tugas dan tanggungjawab sebagai seorang Menteri Besar.

Kita semua percaya itu bukanlah satu tugas yang mudah apatah lagi bagi seorang anak muda yang baharu berusia 44 tahun walaupun beliau berpengalaman dalam exco negeri.

Jawatan sebagai Menteri Besar lebih luas ruang lingkup tanggungjawab di atas bahu dan pastinya penerimaan Onn Hariz menjawat jawatan tersebut, disertakan dengan pakej ‘sakit kepala’. Silap haribulan, boleh migraine tiap-tiap hari kalau tidak mendapat sokongan daripada orang sekeliling.

Jangan tunggu nak hentam MB Onn Hariz dan goncang beliau seolah-olah duduknya di atas pokok. Jangan ada lagi orang dalam yang bersifat menggoncang untuk menjatuhkan. Buanglah sikap seperti ini dan bina sikap yang lebih positif, bukan positif Covid-19.

Rakyat negeri Johor telahpun memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan negeri, dengan perkenan Sultan Johor.

PRN Johor baru-baru ini jelas memperlihatkan bahawa BN mampu memikul tugas dan tanggungjawab sebagai Kerajaan Negeri Johor.

Di atas kertas terbukti bahawa 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada PRN Johor pada Sabtu lalu, milik BN.

Bukan sahaja BN meletak 56 orang calon tetapi Perikatan Nasional (PN) yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin turut meletakkan 56 orang calon untuk bertanding.

Hakikatnya, PN hanya dapat tiga kerusi sahaja walaupun dilancarkan Ikrar PN “Demi Bangsa Johor” dan Akujanji AntiRasuah di Johor Bahru untuk dijadikan modal berkempen selama dua minggu (26 Februari lalu adalah penamaan calon dan kempen berakhir pada pukul 11.59 malam, 11 Mac). – SM

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button