Nasional

Mas Ermieyati sarankan Tiong King Sing diganti

Kerajaan disaran supaya menggantikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan pemimpin baharu.

MUDAH sungguh jalan dan pemikiran seorang ahli Parlimen yang mencadangkan kepada kerajaan supaya menukar atau menggantikan sahaja Datuk Seri Tiong King Sing sebagai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan Menteri baru.

Salah satu sebab yang dilontarkan oleh Ahli Parlimen berkenaan atas cadangan yang beliau anggap amat bernas itu adalah kerana Tiong campur tangan dalam urusan agensi yang bukan di bawah kementeriannya.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing

Biar apa pun alasan, tidak seharusnya seorang Ahli Parlimen seperti Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang berpengalaman menyarankan kepada kerajaan perpaduan pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan jalan semudah itu.

Dalam erti kata lain, tak suka, tukar, tak berkenan, ganti.

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Melaka itu mendakwa, insiden yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) minggu lepas menunjukkan Datuk Seri Tiong King Sing tidak layak berkhidmat sebagai menteri di kementerian berkenaan.

Kata Mas Ermieyati lagi, kalau setakat nak rehatkan Tiong King Sing sehingga proses siasatan selesai itu tidak perlu dilakukan.

Sebaliknya, kata Mas Ermieyati, ganti terus dengan pemimpin atau individu lain yang boleh membantu membangunkan industri pelancongan tempatan.

Pada hemat Mas Ermieyati, tindakan seperti itu dilihatnya lebih utama dan bukannya beri fokus kepada satu perkara, kononnya ada visa pelancongan tetapi berselindung di sebalik visa itu untuk datang bekerja ke negara ini.

Beliau berkata demikian selepas Ceramah Perdana Gelombang Nismilan Kito Ubah di Markas PAS Port Dickson, semalam.

Mas Emeryanti yang pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan pada tahun 2015 sehingga 2018 turut memberitahu yang beliau berasa malu dengan insiden itu.

Beliau berkata, sebagai seorang Menteri, Tiong tidak sepatutnya masuk campur soal yang bukan berkaitan dengan kementeriannya.

“Beliau bukan saja mencampuri malahan menjatuhkan air muka pegawai dari Jabatan Imigresen (JIM) dengan perkataan ‘You are the culprit’ dan membuat tuduhan menerima suapan RM3,000 di khalayak ramai,” dakwa Mas Ermieyati secara terang-terangan.

Tambah Mas Ermieyati lagi, seorang menteri juga perlu ada budi bahasa yang baik.

Mas Ermieyati berkata, berdasarkan pengalaman beliau di kementerian yang sama dengan Tiong pimpin pada hari ini di bawah kerajaan perpaduan, jika ada maklumat berkaitan dengan kes-kes tertentu, ia akan diselesaikan secara kolaborasi dengan agensi yang berkaitan.

Jelas Mas Ermieyati, “Kita beri maklumat dan biar tindakan dibuat oleh JIM bukannya tindakan melulu dibuat oleh Menteri yang bukan di bawah agensi JIM.

“Kalau penjawat awam pun kita tidak hormat, bagaimanakah rakyat nak hormat kita?”

Sebelum ini media melaporkan seorang menteri didakwa menceroboh masuk ke balai ketibaan antarabangsa KLIA bagi membebaskan seorang pelawat wanita dari negara Republik Rakyat China yang ditahan pihak Imigresen.

Kejadian itu turut tular di media sosial apabila menteri terbabit, Datuk Seri Tiong King Sing dikatakan masuk ke ruangan itu tanpa memohon pas keselamatan.

Perbuatan Tiong dipercayai bagi ‘menyelamatkan’ wanita warga China itu yang dinafikan kemasukannya ke negara ini sebaik tiba di lapangan terbang KLIA pada Sabtu lalu.

Tiong dalam kenyataan medianya pada Sabtu lalu mengakui terbabit dalam insiden itu malah menyifatkan tindakannya bagi membongkar ‘peristiwa’ yang memalukan iaitu rasuah.

Beliau mendakwa wujudnya budaya rasuah dilakukan oleh segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang kronik di pintu masuk negara. – SUMBER SINAR HARIAN – SM

BACA Motac pertimbang bak kut teh dimasukkan senarai makanan warisan kebangsaan

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button