Manfaat peluang dengan sertai Rejimen Askar Wataniah – Raja Muda Perlis
Golongan belia khususnya yang belum bernasib baik untuk mendapat pekerjaan ataupun yang telah terpaksa ‘kehilangan pekerjaan’ akibat keadaan ekonomi semasa yang kian mencabar diajak untuk beramai-ramai menyertai Rejimen Askar Wataniah sebagai anggota sukarela atau sukarelawati.
Tidak semua perkara yang berlaku di dalam pasukan tentera yang boleh dihebah keluar dan dirahsiakan. Walau bagaimanapun bagi ahli masyarakat yang benar-benar berminat, ingin tahu dan merasa mempunyai tanggungjawab kepada keluarga tersayang, bangsa, negeri dan negara harus segera tampil menawarkan diri masing-masing untuk menganggotai Rejimen Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia.
Demikian titah perutusan Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena ‘Hari Ulangtahun Ke-63 Rejimen Askar Wataniah’ yang disambut pada hari ini iaitu 1hb Jun 2021.
Menurut baginda yang juga merangkap Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, bermula jam 8 pagi hari ini, seramai seorang pegawai dan 20 anggota sukarela lain-lain pangkat dari Rejimen 504 Askar Wataniah melaporkan diri untuk membantu penugasan sepanjang tempoh ‘lockdown 3.0’. Jumlah tersebut adalah sebagai tambahan kepada seramai seorang pegawai dan 25 anggota tetap lain-lain pangkat yang telahpun ditugaskan mengikut penggiliran di negeri Perlis secara berterusan sejak PKP 1.0 lagi.
Sementara itu, Timbalan Komander rejimen berkenaan, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak memaklumkan bahawa Rejimen Askar Wataniah dengan motto ‘Berkhidmat Untuk Negara’ berperanan sebagai barisan kedua dalam mempertahankan kedaulatan negara dari sebarang ancaman. Penyertaan rakyat dalam Rejimen Askar Wataniah merupakan satu sumbangan murni bagi menyahut seruan pertiwi sesuai dengan konsep ‘HANRUH’ iaitu Pertahanan Menyeluruh yang ditetapkan dalam Dasar Pertahanan Negara.
Bagi golongan muda yang sihat tubuh badan memenuhi semua syarat minima yang ditetapkan samada lelaki mahupun wanita dijemput dengan segera untuk tampil ke hadapan mendaftar diri di Rejimen 504 Askar Wataniah yang berpangkalan di Kem Bukit Keteri, Perlis.
Pasukan sukarela ini telah terbuktu mempunyai peranan penting terutamanya semasa Perang Dunia Kedua, Darurat Pertama dari tahun 1948 hingga 1960 dan era konfrontasi. Semasa darurat, pasukan simpanan pada ketika itu dikenali sebagai ‘Home Guard’ dan pasukan ini telah disusun semula selepas ancaman berkurangan dan dikenali sebagai Pasukan Pertahanan Tempatan.
Pada tahun 1958, Ordinan Tentera Darat Simpanan telah digubal dengan penubuhan pasukan sukarela yang baru dengan nama Askar Wataniah secara rasminya pada 1 Jun 1958.
Untuk rekod, pada tarikh yang sama hari ini iaitu 1hb Jun 2021 negara juga turut menyambut ‘Hari Tentera Udara Malaysia (TUDM) yang ke 63’ dengan bertemakan ‘Berupaya Bersiaga, Kedaulatan Terjaga’