Man Siam bunuh kawan kerana pijak kepala
GARA-GARA seorang kawan terpijak kepalanya, seorang lelaki yang dikenali sebagai Man Siam telah membunuh mangsa dengan menikamnya.
Man Siam yang merupakan seorang penjaga reban ayam yang berang kerana mangsa terpijak kepalanya ketika suspek sedang tidur.
Kejadian berlaku pukul 11.46 malam tadi di Kampung Che Arus, Bukit Merbau, Kok Lanas.
Suspek adalah seorang warga Thailand.
Memetik laporan BH Online Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, berkata mangsa yang berusia 38 tahun bersama bapa sepupunya pergi ke rumah seorang ahli keluarga mereka di lokasi kejadian.
Beliau berkata, suspek yang berusia sekitar 20-an tinggal di reban ayam di belakang rumah kerana bekerja sebagai penjaga ayam ternakan milik ahli keluarga mereka itu sejak awal, tahun ini.
“Apabila tiba di rumah ahli keluarga, mangsa yang mengenali suspek pergi ke reban ayam di belakang rumah untuk mencarinya.
“Tidak lama kemudian, suspek datang ke rumah dan memberitahu dua lelaki terbabit bahawa dia sudah menikam mangsa menggunakan pisau atau golok kecil bersarung,” katanya.
Mangsa dibawa ke Hospital Machang dan disahkan meninggal dunia.
Bagaimanapun hasil tindakan segera polis, suspek ditahan pihak berkuasa, petang ini.