Nasional

Malaysia, Singapura teroka inisiatif pacu Zon Ekonomi Khas JS-SEZ

Malaysia dan Singapura bersedia untuk meneroka beberapa inisiatif bagi memacu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Kementerian Ekonomi Malaysia dan Kementerian Perdagangan dan Industri Singapura berkata inisiatif itu termasuk mewujudkan pusat perniagaan/pelaburan sehenti di Johor bagi memudah cara proses permohonan pelbagai kelulusan serta lesen yang diperlukan untuk membolehkan perniagaan republik itu beroperasi di Johor.
Malah, JS-SEZ akan turut memanfaatkan pertumbuhan Johor yang kukuh serta pelaburan penting Singapura di rantau itu.
Pada 2022, Johor mencatat pelaburan bernilai RM70.6 bilion yang merentasi pelbagai sektor termasuk elektrikal dan elektronik, peranti perubatan, pengeluaran makanan serta pusat-pusat data.
Singapura pula merupakan pelabur asing kedua terbesar Johor bagi tempoh Januari hingga Jun 2022 dan menyumbang kira-kira 70 peratus daripada jumlah pelaburan langsung asing (FDI) negeri itu dalam sektor pembuatan.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menyifatkan kewujudan JS-SEZ memberi peluang besar bagi meningkatkan aliran rentas sempadan membabitkan pergerakan kargo serta rakyat, memacu ekosistem perniagaan serta meningkatkan daya tarikan ekonomi Johor dan Singapura.
“Saya yakin sepenuhnya inisiatif ini akan membuka fasa transformatif dalam hubungan ekonomi dua hala, memupuk kesalinghubungan dan kemakmuran yang tiada tandingan bagi kedua-dua negara hebat ini,” kata beliau.
Menyentuh inisiatif lain, kenyataan bersama itu berkata penerimagunaan/pelaksanaan sistem pelepasan kod QR tanpa pasport pada kad di kedua-dua pihak pula bertujuan memudahkan urusan pelepasan orang ramai di pusat pemeriksaan darat secara lebih pantas.
Pelaksanaan proses digital bagi tujuan pelepasan kargo di pusat pemeriksaan darat serta aspek mudah cara kerjasama tenaga boleh baharu Malaysia-Singapura dalam JS-SEZ, juga menjadi antara inisiatif awal JS-SEZ bagi memacu pertumbuhan ekonomi.
Menteri Perdagangan dan Industri Singapura Gan Kim Yong pula berkata JS-SEZ berperanan sebagai jambatan untuk kedua-dua negara saling memanfaatkan kekuatan masing-masing selain merebut peluang bagi pertumbuhan bersama.
“Saya teruja dengan (impak) perjanjian JS-SEZ serta manfaatnya untuk perniagaan serta rakyat kedua-dua negara,” katanya.
Malaysia dan Singapura adalah rakan dagang kedua terbesar bagi satu sama lain pada 2022 yang menyaksikan dagangan dua hala tumbuh sebanyak 18.9 peratus tahun ke tahun kepada SGD$153 bilion (SGD$1=RM3.48).
Bagi tempoh sama, Singapura berperanan sebagai sumber utama FDI Malaysia dengan menyumbang sebanyak 20.5 peratus daripada keseluruhan FDI di negara ini. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button