Nasional

Malaysia rasis: Laporan Al Jazeera tidak betul – Dr. Adham

LAPORAN media antarabangsa Al Jazeera kononnya Malaysia mengamalkan perkauman dalam menangani isu pendatangan asing tanpa izin (PATI) ketika wabak Covid-19 adalah tidak betul.

Jelas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, tindakan yang diambil oleh kerajaan adalah selaras dengan Akta 342 dalam menangani jangkitan virus maut itu dalam kalangan warga asing.

“Laporan Al-Jazeera bahawa ada berlaku perkauman sebenarnya adalah satu tuduhan yang tidak betul.

“Kita perlu pastikan semua yang dikesan melalui PKP dapat kita saring dan kita asingkan. Itu sebenarnya matlamat kita,” kata Adham.

Beliau berkata demikian dalama sidang media selepas majlis ramah mesra bersama 53 Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) di Kota Tinggi, hari ini.

Menurutnya, kenyataan salah Al Jazeera itu perlu diperbetulkan melalui Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengetuai Mesyuarat Khas Menteri-Menteri.

Dua hari lalu Al-Jazeera dalam segmen berita 101 East menerbitkan laporan video bertajuk ‘Dipenjara ketika Lockdown Malaysia: Kami menyiasat mengapa pandemik Covid-19 memaksa pekerja asing – tulang belakang ekonomi Malaysia – untuk bersembunyi.

“Ketika Malaysia berusaha mengekang wabak Covid-19, kerajaan melakukan operasi ala ketenteraan di Kuala Lumpur atas alasan mengekang wabak mereka menahan pekerja asing.

“Bila anda lihat situasi ini anda tidak boleh menahan diri daripada berfikir adalah ini cara praktikal berhadapan dengan pandemik atau adakah ini perkauman,” kata wartawan dalam video tersebut.

Menurut laporan itu, bertahun-tahun pekerja asing melakukan kerja berbahaya dan kotor untuk Malaysia.

Namun ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah hidup dalam ketakutan tentang masa depan mereka.

Tanpa pekerjaan mereka dipaksa hidup dalam kawasan yang sesak dan ada yang kelaparan dan bergantung kepada bantuan makanan.

Laporan itu turut mendakwa pihak berkuasa memasang dawai berduri di kawasan miskin di Kuala LUmpur dan membuat ujian ke atas warga asing, mengambil cap jari mereka dan menahan mereka yang tidak mempunyai dokumen sah.

Dalam laporan itu seorang lelaki yang yang ditemubual berkata, kerajaan Malaysia melayan pekerja asing sama seperti layanan ke atas binatang.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button