Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara Israel di Gaza
MALAYSIA mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara oleh rejim Israel ke atas bangunan kediaman dan tapak lain di Gaza sejak 9 Mei, yang menyebabkan sekurang-kurangnya 27 rakyat Palestin maut dan mencederakan lebih 70 orang awam.
Dalam satu kenyataan semalam (11 Mei), Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) berkata serangan terbaru oleh rejim Israel ini adalah satu lagi sikap tidak menghiraukan dan tidak menghormati hak asasi manusia antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan.
“Masyarakat antarabangsa perlu bertindak serentak untuk menamatkan penganiayaan selama beberapa dekad terhadap rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan itu.
Wisma Putra berkata Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengecam dengan tegas rejim Israel kerana tidak henti-henti melakukan penindasan tidak berperikemanusiaan dan jenayah apartheid yang mengerikan terhadap rakyat Palestin.
Malaysia juga menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk meminta Israel bertanggungjawab atas semua pencabulan dan kekejamannya.
“Malaysia berpegang teguh dengan pendirian kami bahawa rakyat Palestin berhak mendapat negara mereka sendiri yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai Ibu Kotanya,” kata Wisma Putra.
Menurut laporan media, tiga komander kanan tentera kumpulan Jihad Islam, isteri dan anak mereka adalah antara yang terkorban dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza sejak Selasa (9 Mei).
Puak-puak Palestin melepaskan serangan roket pada hari Rabu (10 Mei) ke dalam Israel di tengah-tengah ketegangan berikutan serangan udara Israel – SM
Baca juga : Pemimpin antarabangsa perlu kecam kezaliman rejim Israel – Anwar Ibrahim