Nasional

Malaysia hantar tentera ke Lubnan tiada kaitan perang Palestin-Israel – Mohamad Hasan

TIDAK ada kaitan dengan perang Palestin-Israel, itu tegas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung penghantaran pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850-11 ke Lubnan.
Katanya, ia bukan bermaksud Malaysia akan terlibat dalam konflik Palestin dan Israel.
Katanya, penghantaran pasukan tersebut, adalah bagi menggantikan pasukan Malbatt 850 siri ke 10, yang sudah berada di Lubnan sejak setahun yang lepas.
Menurut beliau, Malbatt 850-11 merupakan sebahagian daripada misi United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL), dan akan ditempatkan di dua penempatan tetap iaitu Kem Ma’rakah serta Kem Tibnin.
Selain itu kata beliau, pasukan terbabit akan melaksanakan tugas-tugas operasi yang diberikan oleh UNIFIL khususnya di kawasan tanggungjawab yang ditetapkan
“(Ketika ini Kerajaan Malaysia) masih lagi mengekalkan keputusan supaya pasukan pengaman PBB dalam UNIFIL di Lubnan mesti dikekalkan selagi belum ada perubahan (dalam keputusan PBB).
“Maka Malaysia akan turut serta hantar, dan ini merupakan pasukan pengganti (kepada Malbatt 850-10). Jangan kata kita hantar ke Palestin pula, sekarang ni macam-macam pandangan ada.
“Ini kita ganti pasukan sedia ada di Lubnan. Jadi kebetulannya pasukan kita yang ada setahun di sana memang nak balik, dijadualkan untuk balik. Jadi kita buat dan terus hantar (pengganti), sehingga PBB atau UNIFIL membuat keputusan yang berlainan,” katanya lagi.
Mohamad berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Beret PBB, Penyerahan Bendera Malaysia, dan Penghantaran Kumpulan Pertama Malbatt 850-11 ke Lubnan, di Pangkalan Udara Subang, pada Khamis.
Malbatt 850-11 berkekuatan seramai 854 anggota terdiri dari 82 pegawai dan 772 anggota lain-lain pangkat, termasuk tiga pegawai dan 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) , serta seorang pegawai awam kewangan dari Kementerian Pertahanan

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button