Ekonomi

Malaysia akan fail tindakan undang-undang terhadap EU

Kempen anti-sawit EU

KEMENTERIAN Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara akan memfailkan tindakan undang-undang terhadap Kesatuan Eropah (EU) membabitkan kempen anti-minyak sawit oleh blok berkenaan.

Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, tindakan itu diambil menerusi Mekanisme Penyelesaian Pertikaian (DSM) di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Dalam satu kenyataan semalam, jelas Mohd. Khairuddin, tindakan terbabit juga berdasarkan asas dan justifikasi serta selaras dengan prinsip amalan perdagangan yang telah digariskan oleh WTO.

“Polisi yang dilaksanakan oleh EU dalam ‘Delegated Regulation’ di bawah Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui EU II (EU RED II) yang telah mewujudkan sekatan yang tidak sewajarnya ke atas usaha kemampanan dan kelestarian yang telah dan sedang dilaksanakan oleh Malaysia, seterusnya menyekat amalan perdagangan bebas,” katanya.

Menurut Mohd Khairuddin seperti mana dilaporkan BERNAMA hari ini, tindakan diskriminasi oleh EU itu akan menyebabkan lebih 3 juta rakyat Malaysia yang terlibat dalam rantaian industri sawit negara menerima impak negatif termasuk lebih setengah juta pekebun kecil sawit.

EU telah meluluskan EU RED II pada Disember 2018 lalu dan seterusnya ‘Delegated Regulation’ pada Mac 2019 yang merupakan peraturan pelengkap di bawah EU RED II.

Ia antara lainnya menerangkan mengenai kriteria atau metodologi menentukan sama ada sumber dalam pengeluaran biobahan api menyebabkan kadar perubahan guna tana secara tidak langsung (ILUC) yang tinggi atau rendah serta kesannya terhadap pelepasan gas rumah hijau.

Mohd. Khairuddin berkata, ‘Delegated Regulation’ berkenaan juga dilihat mempunyai kekurangan dari segi ketelusan serta kredibiliti saintifik.

“Terdapat banyak andaian yang dibuat memberi gambaran tidak tepat terhadap amalan kemampanan dan kelestarian industri sawit negara,” katanya.

Malah, katanya lagi, ia juga dilihat berat sebelah apabila hanya minyak sawit dikategorikan sebagai mempunyai kadar risiko ILUC tinggi dalam kalangan minyak sayuran bagi sumber biobahan api.

“Berdasarkan ‘Delegated Regulation’ tersebut, minyak sawit telah dikategorikan sebagai mempunyai kadar ILUC yang tinggi, sekali gus menyebabkan jumlah eksport minyak sawit negara ke EU dijangka akan terkesan.

“Ini memandangkan biobahan api dengan kadar ILUC tinggi tidak diambil kira dalam pengiraan sasaran tenaga boleh diperbaharui,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button