Ekonomi

Malakoff, Alam Flora syarikat terbaik Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia

Malakoff Corporation Berhad (Malakoff), peneraju penjanaan tenaga global dan pakar kelestarian alam, telah memenangi anugerah Syarikat Terbaik (Penjanaan Tenaga) untuk Penjagaan Komuniti dan Pemuliharaan Alam Sekitar di “Sustainability and CSR Malaysia Awards 2024”.

Majlis yang berprestij itu diadakan pada 18 Julai 2024 di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.

Anak syarikat Malakoff, Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora), turut memenangi, Syarikat Terbaik (Pengurusan Sisa) bagi Pengurusan Sisa Pepejal Lestari.

Menerima anugerah bagi pihak Malakoff adalah Ketua Komunikasi dan Penjenamaan Kumpulan Malakoff , Suriati Mohammad Mokhtar, manakala Ahli Lembaga Pengarah Alam Flora, Nazersham Mansor menerima bagi pihak Alam Flora.

Bertujuan untuk meningkatkan kecemerlangan syarikat yang telah berusaha menjadi ejen transformasi sosioekonomi Malaysia dan menyokong usaha kemampanan dan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (“CSR”), majlis ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr.
Noraini Ahmad.

Mengulas mengenai pencapaian ini, Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib menekankan kepentingan pembangunan komuniti dan pemuliharaan alam sekitar.

Beliau menegaskan bahawa usaha ini penting bagi inisiatif CSR Kumpulan Malakoff, bertujuan untuk memastikan keterangkuman dan penjagaan alam sekitar.

Anwar mengulangi komitmen Kumpulan Malakoff adalah untuk mengurangkan jejak karbon dan mempromosikan ekonomi kitaran sebagai sebahagian daripada matlamat jangka panjang.

“Tahun lepas, Malakoff telah mencapai beberapa pencapaian yang membanggakan. Kami telah menganjurkan program di Lumut, Perak iaitu pemuliharaan penyu “Kenali Penyu, Sayangi Penyu” buat kali yang ke-7, bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan meningkatkan populasi penyu.

“Selain itu, Malakoff mengetuai pembersihan pantai di Pulau Tinggi, Johor, untuk pemuliharaan marin dan menggalakkan penggunaan beg guna semula berbanding penggunaan plastik sekali guna.

“Bersempena dengan Hari Alam Sekitar National, kami telah menanam sejumlah 2,000 batang pokok bakau di sepanjang jambatan Sungai Pulai Mukim Sungai Karang di Pontian, Johor untuk menggalakkan pemuliharaan alam sekitar dan menggalakkan penanaman pokok dikalangan rakyat Malaysia.

“Selain itu, kami mengadakan program ‘Jom Ke Sekolah Bersama Mukim Serkat’ di Pontian, bagi menangani isu pendidikan dan kehidupan masyarakat sejagat.

“Kami juga menganjurkan majlis iftar bagi 40 orang kanak-kanak di Asnaf Baitun Nurrawdhah, dengan hasil sokongan daripada warga kerja kami. Pada akhir tahun, kami menganjurkan program ‘Amazing Hunt 2023’ buat kali pertama.

“Program pencarian harta karun ini melibatkan kakitangan, pihak berkepentingan, rakan media dan pemimpin pendapat utama (“KOL”), justeru itu program ini adalah untuk memupuk kesedaran dan memberi pendedahan tentang amalam kitar semula dengan mengumpul dan menimbang berat barangan kitar semula di Fasiliti Inovasi Kitar Semula (“FIKS”) Alam Flora di Putrajaya.”

“Sama seperti di Alam Flora, kami mengekalkan komitmen untuk mempromosikan kitar semula dan pengurusan sisa buangan dengan betul melalui beberapa inisiatif.

“Kami mendidik lebih 11,000 pelawat melalui lawatan ke Fasiliti Inovasi Kitar Semula (“FIKS”) sejak pembukaannya pada tahun 2020. Selain itu, acara kami seperti ‘Sustainability Hunt’ dan ‘Cyber Eco Hunt 2023’, sama seperti program ‘Amazing Hunt 2023’ yang melibatkan komuniti, dan kerjasama pempengaruh media sosial dan KOL dapat meningkatkan lagi kesedaran alam sekitar.

“Di Kuantan, ‘Karnival Saya Sayang Bumi’ telah menarik lebih 2,000 peserta untuk mengukuhkan tanggungjawab alam sekitar. Tambahan pula, pertunjukan fesyen ‘Waste Is Amazing’, yang melibatkan 100 pereka fesyen, mempromosikan hasil kreatif berkonsepkan 3R melalui reka bentuk yang inovatif”, tambah Anwar Syahrin. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button