Majlis Pemulihan Negara sokong penggunaan berterusan MySejahtera
PUTRAJAYA: Majlis Pemulihan Negara (MPN) menyokong penggunaan aplikasi MySejahtera secara berterusan walaupun negara kini beralih kepada fasa endemik Covid-19.
Pengerusi Muhyiddin Yassin berkata majlis itu akan menyerahkan kepada kementerian kesihatan untuk memutuskan bila untuk menghentikan penggunaan aplikasi itu secara berperingkat.
“MPN menyokong penggunaan MySejahtera dan ciri pengesanan kenalannya. Kajian menunjukkan aplikasi itu kekal berkesan dalam peralihan kepada fasa endemik,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat majlis hari ini.
Muhyiddin berkata data yang dikumpul melalui MySejahtera kekal sebagai aset berharga dalam membendung penularan Covid-19.
Beliau berkata MPN yakin dengan strategi pandemik kementerian kesihatan, sambil menambah terdapat tanda-tanda menggalakkan Malaysia boleh berjaya beralih ke fasa endemik.
Pembukaan semula sempadan yang lancar sebagai petunjuk yang baik negara akan pulih daripada wabak itu.
Malaysia mula beralih kepada fasa endemik pada 1 April, yang menyaksikan kelonggaran beberapa SOP untuk kehidupan seharian. Namun begitu, penggunaan MySejahtera masih kekal.
Bulan lalu, terdapat gesaan yang semakin meningkat untuk kerajaan menghentikan penggunaan aplikasi itu, dengan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengatakan MySejahtera tidak lagi berguna.
Presiden MMA Dr Koh Kar Chai mengakui bahawa pengesanan kenalan adalah mustahil pada kemuncak pandemik jika bukan kerana aplikasi itu, walaupun ia mungkin “hidup lebih lama daripada kegunaannya” memandangkan terdapat penularan virus yang tinggi dalam komuniti.