Nasional

Kerajaan setuju kaji semula pemberian khas Sabah

KERAJAAN mengkaji semula pemberian khas kepada Negeri Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, ini susulan daripada beberapa perbincangan dan rundingan yang diadakan oleh Kementerian Kewangan dan Kerajaan Negeri Sabah.

“Persetujuan ini juga merupakan satu petanda penting memandangkan kali terakhir kajian semula dibuat adalah pada tahun 1969,” katanya dalam satu kenyataan.

Persetujuan kajian semula baharu ini merangkumi perkara-perkara berikut:

(a) Amaun pemberian khas baharu kepada negeri Sabah dinaikkan sebanyak 4.7 kali ganda daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta bagi tahun 2022.

Dan amaun akan terus meningkat setiap tahun bagi tempoh 2023-2026 mengikut kadar kenaikan yang dipersetujui bersama.

(b) Pada masa yang sama, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah akan terus berunding berhubung dengan tuntutan 40% daripada hasil Negeri Sabah dan menjalankan kajian semula pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan untuk mendapatkan suatu amaun pemberian khas baharu yang dapat mengimbangi keperluan negeri Sabah tanpa menjejaskan kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan.

“Sekiranya suatu amaun baharu yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak berjaya dicapai sebelum tahun 2026 maka amaun baharu tersebut akan diguna pakai untuk menggantikan bayaran pemberian khas kepada negeri Sabah bermula tahun 2022,” kata Perdana Menteri.

Katanya lagi, persetujuan ini adalah tanpa prejudis terhadap kewajipan dan hak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah untuk meneruskan kajian semula pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dengan mengambil kira kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan serta keperluan Kerajaan Negeri Sabah berhubung kos perkhidmatan Negeri.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri Sabah juga berhak untuk bergantung kepada formula asal seperti yang dinyatakan dalam Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

“Pelaksanaan kajian semula pemberian khas ini termasuk hak kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah untuk merujuk perkara itu kepada penaksir bebas (jika tiada persetujuan dicapai) seperti yang dinyatakan dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah akan membekalkan data dan maklumat mengenai kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan serta keperluan Kerajaan Negeri Sabah berhubung kos perkhidmatan Negeri yang akan diambil kira dalam proses kajian semula pemberian khas tersebut,” jelasnya.

Tambah beliau, persetujuan yang berjaya dimeterai antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah melambangkan semangat Keluarga Malaysia, komitmen Kerajaan Persekutuan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 kepada Kerajaan Negeri Sabah serta keprihatinan Kerajaan Negeri Sabah terhadap peranan dan kemampuan Kerajaan Persekutuan untuk membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada negeri Sabah.

“Penghargaan kami kepada delegasi Kerajaan Persekutuan yang diketuai oleh Menteri Kewangan Malaysia dan delegasi Kerajaan Negeri Sabah yang diterajui oleh Menteri Kewangan II Sabah dalam pencapaian bersejarah ini,” katanya. – SM

(Visited 130 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button