
Majlis Media Malaysia: Badan Kawal Selia Kendiri untuk Etika dan Kebebasan Media
MAJLIS Media Malaysia (MMM) adalah sebuah badan kawal selia kendiri yang akan mengawasi dan mempromosikan etika serta profesionalisme dalam industri media di Malaysia. Tujuan utama penubuhan MMC adalah untuk menyelaraskan peraturan merangkumi media cetak, penyiaran, dan dalam talian, sambil menjamin kebebasan media seperti yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Selepas lima dekad akhirnya undang-undang yang sangat penting dalam menjamin kebebasan media di Malaysia akhirnya berjaya dilaksanakan.
Sedangkan di negara tetangga telah lama diwujudkan Dewan Pers bagi mengelakkan media ditekan oleh pihak pemerintah ataupun pihak pemodal.
Justeru apa yang dicapai oleh kerajaan dewasa ini sangat besar, kerana sebelum ini pemerintah hidup dalam bayangan ketakutan kebebasan media.
Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Yong Soo Heong menghargai usaha kerajaan terutama Kementerian Komunikasi yang melibatkan profesional media, khususnya jawatankuasa protem, dalam mengimbangi pelbagai kepentingan media untuk menubuhkan majlis itu.
Beliau berkata, walaupun cadangan untuk menubuhkan badan seumpama itu bermula pada 1973, ia mendapat momentum yang penting dengan perbincangan yang lebih mendalam bermula pada awal 2023.
“RUU MMM yang jelas mengenai pelbagai fungsinya seperti menetapkan piawaian, mewujudkan kod etika untuk pengamal media dan mempromosikan piawaian tertinggi dalam kewartawanan beretika, kebebasan media, serta hak-hak profesional media sememangnya merupakan satu pencapaian penting.
“Peruntukan dalam RUU itu yang memperkasakan MMM untuk mengawal etika dan tingkah laku profesional pengamal media menandakan satu langkah penting ke arah pengawalan kendiri dalam industri media,” katanya.
SUARA MERDEKA melihat MMC berfungsi sebagai badan bebas dan autonomi, tidak dikawal oleh kerajaan atau parti politik. Ia menggantikan keperluan campur tangan kerajaan dalam kawal selia media, membolehkan media beroperasi tanpa tekanan politik.
Pada masa yang sama ia mengurangkan risiko penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkepentingan yang mahu mengawal naratif media.
MMC juga akan menyusun Kod Etika Kewartawanan untuk memastikan pelaporan berita dibuat secara profesional dan bertanggungjawab.
Wartawan dan organisasi media perlu diberikan garis panduan untuk memastikan kebebasan media disertai dengan etika yang kukuh.
Dengan adanya kawal selia kendiri, media tidak perlu bergantung kepada undang-undang yang boleh disalahgunakan untuk menyekat kebebasan bersuara.
MMC juga akan berperanan sebagai badan mediasi dalam kes pertikaian antara media dan individu/organisasi yang merasa terjejas oleh laporan media. Ini mengurangkan risiko wartawan dikenakan tindakan undang-undang yang berat seperti Akta Hasutan atau Akta Fitnah, yang sering digunakan untuk menekan media.
Ia juga menyediakan ruang aduan bagi orang awam tanpa perlu melibatkan tindakan mahkamah yang boleh menjejaskan kebebasan media.
MMC boleh memberi cadangan kepada kerajaan untuk menyemak semula undang-undang yang menyekat kebebasan media, seperti:
– Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 – yang mewajibkan media cetak mendapatkan lesen daripada kerajaan.
– Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 – yang kadang-kadang digunakan untuk mengawal media dalam talian.
– Akta Hasutan 1948 – yang sering dikritik kerana digunakan untuk menyekat kritikan terhadap kerajaan.
– Dengan reformasi ini, media akan dapat beroperasi dalam persekitaran yang lebih bebas dan adil.
Peranan paling penting menyediakan perlindungan kepada wartawan daripada ancaman fizikal, tekanan politik, dan gangguan undang-undang yang tidak adil. Menyediakan sokongan undang-undang kepada wartawan yang menghadapi tekanan akibat melaporkan berita yang sensitif dan memastikan wartawan dapat menjalankan tugas mereka tanpa takut akan penindasan atau ugutan.
Kemahiran dan kecekapan wartawan juga boleh ditingkatkan apabila MMM menawarkan latihan, bengkel, dan kursus serta memastikan media beroperasi secara profesional. Dengan kewartawanan yang berkualiti, media dapat mempertahankan kebebasan mereka dengan menyampaikan berita yang tepat dan bertanggungjawab membantu membina negara.
Kesimpulannya Majlis Media Malaysia mampu menjamin kebebasan media dengan memastikan media bebas daripada pengaruh politik, menguatkuasakan etika kewartawanan, menyediakan mekanisme penyelesaian sengketa, serta melindungi wartawan daripada tekanan dan ancaman. Dengan penubuhan MMC, diharapkan media Malaysia dapat beroperasi dengan lebih bebas dan profesional tanpa sekatan yang tidak wajar.