
Majlis Amal Iftar Perdana: Family Of Charity Santuni 400 Penerima Bantuan
MAJLIS Amal Iftar Perdana Family Of Charity yang berlangsung malam tadi telah dirasmikan oleh YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara, bertempat di Dewan PPR Hiliran Ampang.
Menjunjung kasih Yang Amat Mulia Tengku Syarif Temenggong Perlis, Dato’ Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail Ibni Almarhum Syed Putra Jamalullail, Penaung Diraja Persatuan Sinaran Hidup (Family Of Charity), yang telah berkenan berangkat ke majlis ini.
Turut bersama dalam majlis ini ialah Yang Mulia Che Puan Temenggong Perlis, Datin Seri Diraja Farinawati Datuk Mohamat Din, selaku Penasihat Diraja Biro Sukarelawan Persatuan Sinaran Hidup (Family Of Charity) serta YBhg. Datuk Shariffah Maznee Al-Attas Haji Syed Noor Osman, Pengasas Persatuan Sinaran Hidup (Family Of Charity).
Sejumlah sumbangan bernilai kira-kira RM100,000.00 telah diagihkan dalam bentuk bakul makanan, barangan “Back To School”, serta duit raya kepada 400 penerima bantuan bagi menyambut Aidilfitri yang bakal tiba dalam beberapa hari lagi.
Dalam sesi temu bual eksklusif bersama Suara Merdeka, YBhg. Datuk Shariffah Maznee Al-Attas Haji Syed Noor Osman berkongsi bahawa majlis ini diadakan hasil usaha bersama pelbagai pihak dalam tempoh yang singkat:
“Hari ini kami bersama-sama dengan 400 tetamu yang hadir di Dewan PPR Hiliran Ampang, termasuk YB Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang, Penaung Diraja kami, Yang Amat Mulia Tengku Syarif Temenggong Perlis, serta Yang Mulia Che Puan Temenggong Perlis. Majlis ini berjaya dianjurkan hasil kutipan sumbangan yang dikumpulkan sejak dua hingga tiga minggu lalu. Alhamdulillah, sebanyak 300 pasang baju sekolah telah disumbangkan, dengan nilai keseluruhan kira-kira RM60,000. Ini sangat membantu anak-anak yang akan kembali ke sekolah selepas Aidilfitri.”
Beliau juga menekankan bahawa NGO ini telah lama menjalankan inisiatif kebajikan bagi membantu masyarakat yang memerlukan.
“Kami telah aktif dalam kerja-kerja kebajikan selama lebih 10 tahun, menjadi rakan strategik kepada beberapa kementerian termasuk Kementerian Pembangunan Wanita dan Kementerian Perpaduan Negara. Selain itu, kami turut melaksanakan pelbagai program termasuk Projek Rintis Kit Kemiskinan Haid, Jelajah Kasih Keluarga Malaysia, serta beberapa inisiatif di Sabah dan Sarawak bagi memastikan bantuan menyeluruh dapat diberikan kepada golongan memerlukan.”
Ketika ditanya mengenai jumlah keseluruhan kutipan dana untuk majlis ini, beliau menjelaskan:
“Dalam tempoh tiga minggu sahaja, kami berjaya mengumpulkan kira-kira RM140,000 dalam bentuk wang tunai dan barangan. Alhamdulillah, masyarakat Malaysia sangat pemurah, terutama dalam bulan Ramadan ini, di mana ramai tampil memberikan sumbangan untuk mereka yang kurang bernasib baik.”
Bercakap mengenai perancangan akan datang, Datuk Shariffah Maznee mendedahkan bahawa NGO ini tidak akan berhenti di sini:
“Kami merancang untuk menganjurkan Majlis Aidilfitri Perdana yang akan diadakan bulan hadapan di sekitar Lembah Klang. Kami menjangkakan seramai 500 penerima manfaat akan terlibat, dengan kerjasama pelbagai kementerian dan pihak berkepentingan. Perbincangan sedang dijalankan, dan kami berharap program ini dapat memberi lebih banyak manfaat kepada mereka yang memerlukan.”
Beliau turut menyatakan penghargaan atas sokongan Penaung Diraja terhadap NGO ini:
“Sebagai rakyat biasa, kami amat bersyukur atas kesudian Yang Amat Mulia Tengku Syarif Temenggong Perlis menjadi Penaung Diraja kepada Family Of Charity. Kami juga berbesar hati kerana Majlis Zikir Malaysia yang dinaungi oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu dan Yang Amat Mulia Tengku Perlis sentiasa menyokong inisiatif kebajikan kami. Kepercayaan yang diberikan ini adalah satu amanah yang kami pikul dengan penuh tanggungjawab.”
Majlis ini turut menyantuni pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama, termasuk anak-anak yatim, warga emas, serta golongan B40 dari pelbagai kawasan di Lembah Klang, termasuk Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Flat Sri Cheras, dan beberapa rumah kebajikan.