Negeri

MAIPs terus dukung pendidikan inklusif, kebajikan golongan berkeperluan khas

PADANG BESAR 30 Mac – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) terus memperkukuh peranannya dalam mendukung pendidikan inklusif dan kebajikan golongan berkeperluan khas apabila menyampaikan peruntukan tahunan sebanyak RM120,000 kepada Persatuan Sokongan Ibu bapa Remaja Istimewa Perlis (PSRIP), yang menguruskan Pusat Autisme di negeri ini.

Majlis penyerahan disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs, dalam satu acara yang berlangsung di perkarangan Kompleks Bebas Cukai Emas Kerajang, Padang Besar baru-baru ini.

Prof. Madya Dr. Muhammad Firdaus Mohd Nazeri menerima sumbangan tersebut bagi pihak PSRIP, diiringi oleh Ketua Unit Agihan Zakat MAIPs, Muhammad Najdi Mohd Noor.

Dalam ucapannya, Tuanku Raja Muda menzahirkan komitmen berterusan MAIPs untuk memastikan golongan autisme di Perlis tidak tersisih daripada arus pembangunan pendidikan dan sosial. Baginda menyifatkan kerjasama erat antara agensi agama, persatuan ibu bapa dan pihak kerajaan sebagai teras kepada kelestarian sokongan terhadap remaja istimewa.

Seiring itu, MAIPs turut mengumumkan bahawa sebuah Pusat Autisme Genius Kurnia di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bakal ditubuhkan dan beroperasi di Bangunan Sekolah Kebangsaan Panggau. Bagi menyokong penubuhan dan kelangsungan pusat tersebut, MAIPs akan menyalurkan dana tambahan berjumlah RM1.2 juta daripada sumber wakaf untuk tujuan pembangunan prasarana, peralatan pendidikan dan program intervensi khas.

Menurut Muhammad Najdi, langkah ini merupakan sebahagian daripada pendekatan holistik MAIPs dalam memanfaatkan dana zakat dan wakaf bukan sahaja untuk bantuan kebajikan semasa, tetapi juga pembangunan jangka panjang yang memberi manfaat berterusan kepada masyarakat.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Muhammad Firdaus dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada MAIPs atas keprihatinan dan sokongan konsisten terhadap perjuangan PSRIP sejak penubuhannya. Beliau menyatakan bahawa peruntukan yang diterima akan digunakan bagi pengurusan pusat, pelaksanaan program intervensi awal, latihan guru dan aktiviti sokongan keluarga.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button