
MAIPs peruntuk lebih RM400,000 untuk pengurusan, pengoperasian institusi pendidikan Islam untuk 2025
KUALA PERLIS 7 April – Bagi Tahun 2025, Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah memperuntukkan sebanyak RM427,500 bagi emolumen dan aktiviti Nazir-Nazir sekolah agama, bertujuan menyokong urus tadbir dan pengoperasian institusi pendidikan Islam di seluruh negeri ini.
Pelantikan dan peranan Nazir sekolah ini adalah selaras dengan Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Perlis 1988, yang memperuntukkan MAIPs diberi kuasa melantik Nazir bagi menjalankan pemeriksaan, pemantauan dan memberikan nasihat kepada pengurusan sekolah dalam aspek pentadbiran, kurikulum serta kebajikan pelajar.
MAIPs menyifatkan sumbangan ini sebagai satu bentuk pengiktirafan terhadap komitmen Nazir dalam memastikan institusi pendidikan Islam negeri ini terus beroperasi secara sistematik, berkesan dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan, demi membina generasi berilmu dan berakhlak tinggi.
Demikian menurut kenyataan MAIPs titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan simbolik Penyampaian Sumbangan Kepada Para Nazir Sekolah Agama Islam Negeri Perlis, yang berlangsung di Masjid Terapung Al-Hussain, Kuala Perlis baru-baru ini.
Mengiringi Baginda ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor bersama isteri.
Titah Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi, ‘Dalam meraikan Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebagai Raja Perlis pada 17 April 2025 ini, rakyat Perlis diingatkan bahawa tanggungjawab mengekalkan keharmonian, kesejahteraan dan keutuhan negeri bukan hanya terletak pada pihak tertentu, tetapi harus dipikul bersama oleh seluruh lapisan masyarakat.
Tambah Tuanku Raja Muda, ‘Cinta kepada negeri ini, perlu diterjemahkan dalam bentuk segala tindakan, termasuk memelihara perpaduan, menghargai perbezaan, serta menyokong peranan institusi dan individu yang berusaha memperkukuh asas pendidikan dan nilai masyarakat’.
FOTO