MAIPs keluarkan panduan sambutan Aidilfitri tempoh PKPB
MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini mengeluarkan panduan sambutan Aidilfitri di negeri berkenaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan penulan wabak COVID-19.
Berikut kenyataan dikeluarkan MAIPs:
Menjunjung titah perintah dan perkenan DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, maka Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan ini menghebahkan mengenai Panduan Sambutan Aidilfitri di negeri Perlis dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ekoran penularan pandemik wabak COVID-19.
Selaras dengan tuntutan untuk membesarkan sambutan Aidilfitri, serta keperluan untuk disesuaikannya dengan situasi penularan wabak semasa, setelah mengambil kira dan mempertimbangkan pandangan-pandangan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) maka ibadah Solat Sunat Aidilfitri di negeri Perlis bagi tahun 1441H bersamaan 2020M tidak dilaksanakan di masjid, sebaliknya boleh ditunaikan di rumah masing-masing bersama ahli keluarga.
Sehubungan itu, beberapa perkara penting ingin dihebahkan kepada semua pihak untuk diambil maklum dan tindakan seperti berikut:
1- “Panduan Sambutan Aidilfitri Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan” telah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis untuk memberikan panduan berkaitan ibadah dan sambutan Aidilfitri kepada masyarakat. Panduan yang mengandungi panduan seperti berikut:
i- Takbir Hari Raya
ii- Solat Hari Raya
iii- Khutbah Hari Raya
iv- Amalan-amalan Sunnah di Hari Raya
v- Kewajipan Zakat Fitrah
Risalah panduan berkenaan boleh dimuat turun di Laman Portal Rasmi Jabatan Mufti Negeri Perlis melalui pautan khas berikut: https://mufti.perlis.gov.my/index.php/khutbah/category/11-teks-khutbah-dan-panduan-menyambut-idil-fitri-musim-pkp-covid-19-tahun-2020
2- Teks khutbah sama ada dengan kaedah 2 khutbah atau 1 khutbah boleh dimuat turun dari Laman Portal Rasmi Jabatan Mufti Negeri Perlis melalui pautan https://mufti.perlis.gov.my/index.php/khutbah
Marilah sama-sama kita merebut ganjaran yang disediakan di pengakhiran Ramadan al-Mubarak dengan memperbanyakkan amal ibadah kepada Allah jua. Semoga lebaran yang bakal menjelma dapat disambut dengan penuh keinsafan bersama keluarga dan sanak saudara tercinta serta dapat mematuhi segala peraturan sepanjang tempoh PKPB.
Selamat menyambut Hari Raya Aidilftiri, maaf zahir dan batin.
MENJUNJUNG SYIAR MEMAJU UMMAH
SYED FAIZUDDIN PUTRA IBNI TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL
D.K., S.P.M.P., P.A.T.
Raja Muda Perlis
Termaktub di Istana Arau
02600 Arau
Perlis
Bertarikh : 15 Mei 2020 bersamaan 22 Ramadan 1441H