
MAIPs, JHEV ATM kerjasama bantu veteran
ARAU 14 Feb. – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) akan menjalinkan kerjasama strategik dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memperkukuh bantuan kepada golongan veteran ATM yang menetap di Negeri Perlis.
Raja Muda Perlis Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah berkenan berangkat bagi mengetuai perbincangan kerjasama tersebut di Galeri Diraja Arau.
Keberangkatan Baginda disambut oleh Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Datuk Hj. Semaon Hj. Marjuki dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Haji Mohd Nazim Haji Mohd Noor.
Turut hadir sama adalah Timbalan Ketua Pengarah JHEV ATM, Sophian Iswandy Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM, Lt Kol (B) Azwadi Jamian dan Pengarah JHEV ATM Cawangan Negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang iaitu Mejar Mohd Izmer Ghazali.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif yang dirancang, MAIPs melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) telah mengenal pasti beberapa program dan latihan khusus bagi membantu veteran ATM dalam fasa peralihan selepas tamat perkhidmatan. Antara usaha utama termasuklah penyertaan dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta program keusahawanan yang turut melibatkan isteri pegawai dan anggota.
Selain itu, MAIPs juga akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dan Bahagian Kerjaya Sosial (BKS) untuk menambah baik modul atau kursus persediaan sebelum persaraan bagi pegawai dan anggota ATM, yang dijangka berlangsung selama enam bulan atau lebih.
Sebagai rekod, jumlah veteran ATM di Perlis kini seramai 3,223 orang, merangkumi 1,367 veteran berpencen, 1,481 veteran tidak berpencen, serta 385 penerima pencen terbitan.
Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan agar kerjasama tersebut dapat memperkukuh sokongan terhadap veteran ATM, memastikan kebajikan mereka terus terbela serta membuka lebih banyak peluang untuk kehidupan selepas perkhidmatan.
GALERI FOTO